Your Magic Blog: BERTUHAN ITU INDAH

Thursday 18 May 2023

BERTUHAN ITU INDAH

 BERTUHAN ITU INDAH


Naluri manusia ni secara fitrah memerlukan suatu kuasa yang lebih besar daripada dirinya untuk tempat dia berlindung, meminta, bersandar dan bergantung.








Apabila keperluan jiwanya itu terpenuhi, maka manusia akan merasa selamat, bahagia, tenang, aman, dan terlengkapi.

Sebab itulah, manusia akan selalu mencari sesuatu untuk dia berlindung, meminta, bersandar dan bergantung.

Ada orang yang bersandar pada 'kuasa' seseorang yang memiliki kuasa politik. Ada orang yang mencari sandaran pada suatu kumpulan atau organisasi. Ada orang yang mencari sandaran pada suatu objek yang dia percayai ada kuasa ghaib.

Dia akan merasa selamat. Dia akan merasa bebas. Dia gembira dan dia bahagia.

Tak usah pandang orang lain. Tengok diri kita cukup. Anda sekarang sedang bersandar kepada kuasa apa atau siapa?

Mungkin ibu bapa anda. Mungkin seorang YB, Datuk, Tan Sri. Mungkin seorang mogul atau juragan kaya. Atau mungkin suatu objek yang ada suatu daya ghaib. Mungkin juga sebuah saka, jin, atau khadam dari kalangan jin.

Pokoknya ada suatu kuasa yang 'payung' anda, yang buat anda merasa selamat dan tenteram.

Kita akan selalu mencari suatu 'daya' yang boleh mencukupi keperluan dan memenuhi keinginan kita.

Dalam kehidupan kita ni, kita akan terus mencari dan mencari, dari satu objek ke satu objek, dari satu entiti ke satu entiti, untuk memenuhi seruan jiwa fitrah kita. Kita akan terus mencari, sampai kita puas hati.

Ketika kita bersandar pada kuasa dan pengaruh manusia atau suatu organisasi, pada awalnya kita akan merasa selamat dan bahagia. Namun semakin lama kita akan melihat kelemahan demi kelemahan, dan timbul bermacam konflik. Lalu kita berfikir, ini bukan kuasa yang tepat untuk aku bersandar.

Lalu kita pun meneruskan pencarian ke kuasa-kuasa seterusnya. Sampai akhirnya kita merasakan semuanya, dan kita mengambil kesimpulan, bahawa di atas muka bumi ini, tiada kuasa yang benar-benar mutlak dan boleh kita sandarkan harapan sepenuhnya.

Lalu akhirnya kita mula mencari Kuasa Mutlak Yang Tanpa Batas. Jiwa kita hanya akan puas hati ketika bertemu Yang Maha Mutlak kuasanya, yang tiada lagi di atasnya.

Jiwa kita yang fitrahnya luas ini, hanya akan puas  kalau dia bertemu dan bersandar pada Yang Maha Luas Tanpa Batas, kerana dia datang dari situ, hanya akan bahagia kalau dia kembali ke situ.

Tidak akan ada objek dan entiti terbatas yang mampu memuaskan Sang Jiwa selain Zat Yang Maha Luas.

Sebab itu, kekayaan, kekuasaan, manusia dan kebendaan apapun yang Sang Jiwa miliki, akhirnya dia akan bosan. Sebab bukan itu yang dia cari.

Pada fasa awal sahaja dia merasa teruja, tapi lama-kelamaan, kekayaan, kekuasaan, para pengikut yang ramai, dan material yang banyak tidak lagi mampu menghiburkannya. Sang Jiwa akan kembali mencari sandaran-sandaran baru untuk menghiburkan kehausannya.

Sekarang ini, begitu ramai orang kaya dan terkenal dari kalangan politikus, mogul bisnes atau para artis tenar yang mencari pelarian jiwa ke ajaran-ajaran spiritual dan keagamaan.

Kenapa? Kerana jiwanya kembali haus. Ternyata kekuasaan, kekayaan dan populariti tidak mampu memberikan kepuasan terhadap kehausan jiwanya.

Manusia perlukan Tuhan. Cerita tentang Tuhan, konsep tentang Tuhan, itu pun awalnya mengujakan Sang Jiwa. Tapi lama kelamaan dia akan bosan lagi.

Sang Jiwa perlu mengalami Tuhan. Ertinya merasakan kedekatan kepadaNya. Merasakan ketundukan kepada keagungan dan kebesaranNya. Merasakan jaminan perlindunganNya, kecukupan dari limpah kurniaNya. Mengalami sendiri perasaan mencintai dan merinduiNya. Hanya ini yang boleh benar-benar memenuhi kehausan Sang Jiwa.

Ini sebuah pengalaman 'rasa'. Bukan teori kata-kata yang disuapkan kepada fikiran lalu fikiran melakukan anggapan-anggapannya sendiri.

Banyak orang mencari Tuhan dengan fikirannya. Mereka sampai kepada ilmu-ilmu tinggi sehingga melampaui konsep ketuhanan, tembus ke wilayah hakikat-makrifat.

Bermain dengan istilah-istilah 'aku', 'AKU', 'Dia'. Satu dalam yang banyak, banyak dalam yang satu.

Hal-hal seperti ini kalau tidak dialami dengan 'rasa' akan cenderung membawa kepada kekeliruan dan kesesatan. Konsep itu terlalu tinggi. Ia bukan wilayah yang mampu diterokai oleh fikiran. Kapasiti fikiran tidak sampai ke sana.

Ramai orang terperangkap di sini. Bermain dengan teori. Tergantung antara realiti dan ilusi.

Pada wilayah ini, ramai orang melihat semakin samar garis pemisah antara Tuhan dan Hamba. Segalanya terlihat satu tiada beza, sehingga aturan-aturan syariat juga semakin samar dan terkadang hilang tidak terlihat.

Wilayah hakikat-makrifat adalah wilayah sakral, wilayah suci yang hanya dapat kita akses dengan rahmatNya.

Apa yang guru-guru ceritakan biasanya adalah pengalaman rasa yang mereka alami. Kita yang menerima informasi itu hanya mendapat gambaran, dan gambaran itulah yang kita gunakan sebagai modal kita untuk bercerita dan berkisah kepada orang lain bahawa kita juga telah mengalaminya. Maka selamanya kita hidup di antara fantasi dan realiti.

'Kehilangan' Tuhan itu menyengsarakan. Bagaimanapun pengalaman rohani yang dialami oleh seseorang, sempadan Tuhan dan Hamba harus kembali jelas dan teguh.

Ketika lidah kembali merasa sedabpnya rasa makanan, kulit kembali merasa nikmat sentuhan, dan semua deria kembali berfungsi normal, kita tunduk, sujud, dan bergantung harap kepada Allah yang Maha Kuasa dan Maha Agung.

Jika tidak, kita akan tergantung di wilayah antara ilusi dan fantasi. Dan hidup di wilayah itu tidak nyaman, dan tidak membahagiakan.

Terhijab dari Allah kerana gelapnya dosa-dosa, sama deritanya terhijab dari Allah kerana terangnya cahaya ilmu. Derita yang sama, hanya puncanya yang berbeza.

Sebetulnya, kita hanya perlu fokus kepada mengingatiNya, melalui segala macam ibadah wajib atau sunat. Terus menerus berusaha menggapai cinta dan riduNya.

Kerana apabila panas api cintaNya membakar sang jiwa, sehingga tidak tertahan lagi rasanya, yang membuat badan bergoncang, air mata tumpah mengalir... Selepas itu, kedamaian akan menyelimuti Sang Jiwa. Informasi-informasi tinggi akan dialiri olehNya ke hati kita.

Ilmu level tinggi itu adalah anugerah. Ia tidak dapat kita usahakan.
Kita hanya boleh mengusahakan rasa cinta dan rindu kepadaNya, melalui ketaatan mengingatiNya siang dan malam, berdiri, duduk atau berbaring.

Kemudian, barulah anugerahNya yang berupa pengalaman rasa akan hadir mengaliri Sang Jiwa.

Api cintaNya yang membara, membakar segala kotoran jiwa, membuka segala hijab, dan menghadirkan pencerahan-demi pencerahan sebagai anugerah kasih sayangNya.

Wilayah 'fana' yang diceritakan para guru itu tidak boleh diteroka dengan fikiran. Kerana itu adalah wilayah anugerah, selepas Sang Jiwa terbakar oleh api cintaNya.

Itu wilayah di mana segala deria tidak berfungsi, dan sempadan perbezaan tidak lagi terlihat. Namun the moment, deria rasa kembali berfungsi, kita harus cepat sedar bahawa kita hanya secebis hamba yang hina dina di hadapan Tuhan Yang Maha Agung dan Maha Tinggi.

Segala ilmu itu milikNya. Tak usah dikejar.
Kejarlah cinta dan rinduNya tanpa bosan dan tanpa penat.
Ketika cintamu mendapat sambutanNya, maka segala ilmu dan anugerahNya akan mengalir melimpahimu.

Rasa damai, sejahtera, bahagia dan puas hati itu adalah apabila kita merasa dengan sedalam keyakinan bahawa,

Dialah Yang Maha Kuasa, hanya Dia yang memberi mudharat da manfaat, bukan mana-mana makhlukNya.

Dialah Yang Maha Agung, hanya pada keagunganNya hati kita perlu tunduk, takut dan gerun.

Dialah Yang Maha Kaya, hanya kepada kekayaanNya kita bergantung untuk dicukupi segala keperluan dan keinginan.

Dialah Yang Maha Menyembuhkan, semua penyakit dan penyembuhan datang dari Dia. Kalau ada apapa atau sesiapa yang datang memberikan kita kesembuhan, maka itu adalah medium dariNya.....


Sehingga akhirnya kita berikrar,

Hasbunallah wani'mal wakeel, nikmal maula wani'mannaseer.

"Cukuplah Allah bagi kami, sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong kami".

InsyaAllah... Alhamdulillah... Barokallah.


Salam cinta dari lubuk hati paling dalam 😊🙏






No comments:

Post a Comment

BAHAGIA DAN BERLIMPAH

BAHAGIA DAN BERLIMPAH Kondisi hidup mengikuti kondisi hati. Di sini, hati mewakili emosi dan perasaan. Perasaan itu sifatnya magnetik. Ia ...