Your Magic Blog: July 2011

Tuesday 26 July 2011

Hebatnya Anda!

Salam :)

Manusia sifat semulajadinya adalah pelupa. Oleh itu perlu selalu diingatkan dari masa ke semasa. Sebagai manusia, anda sangat hebat. Hebatnya anda bukan terletak pada fizikal, namun kehebatan anda adalah kerana adanya ruh pada diri anda. Ruh andalah yang menjadi sebab anda mulia sebagai manusia. Oleh itu jangan risau jika rupa fizikal anda tidak berapa cantik, tapi risaulah jika ruh anda tidak digilap untuk mencapai kualiti sejatinya dalam kehidupan anda sekarang ini.

Penyakit ada di dalam diri anda, begitu juga dengan penawar, ia ada di dalam diri anda. Fenomena kerasukan sangat popular di dalam masyarakat kita, sama juga dengan fenomena sihir dan gangguan jin. Ramai pesakit yang merasa dirinya disihir atau terkena gangguan jin namun sebenarnya hanya mengalami fenomena 'mental disorder'. Anda makhluk yang sangat istimewa, namun serikali sangkaan-sangkaan anda terhadap diri anda merendahkan status anda sendiri. Jiwa anda sangat kompleks, oleh itu lebih utama bagi anda untuk mengenali jiwa anda dalam seluruh aspeknya berbanding mendalami perkara lain kerana jiwa anda adalah pusat diri dan kehidupan anda. Jatuh dan bangun, sakit dan sihat, serta gagal dan sukses sangat ditentukan oleh status jiwa anda.

Medan energy anda atau bahasa orang putihnya ' energy field' yang merupakan pancaran sinar disekeliling tubuh anda yang berlapis-lapis sangat ditakuti oleh kalangan makhluk halus. Medan energy ini, atau istilah mudahnya aura, memancar dengan pusat kawalannya berada di minda anda. Makhluk halus rendah seperti jin sangat takut dengan pancaran aura anda. Inilah yang menjadi sebab mengapa rumah  yang ditinggalkan kosong dalam tempoh yang lama oleh manusia akan dihuni oleh jin. Frekuensi aura anda semakin meningkat bermula dari cakra dasar sehinggalah ke cakra mahkota anda iaitu dari aura merah ke ungu. Jika kesedaran anda masih berputar-putar di sekitar cakra dasar, memang keseluruhan aura anda agak lemah dan hampir dengan frekuesi jin. Namun jika anda meningkatkan latihan spiritual anda, maka kesedaran anda akan semakin tinggi dan aura anda yang dominan pun semakin tinggi frekuensinya dan sudah pasti sangat ditakuti oleh spesis jin. 

Hubungan antara minda dan aura anda dangat erat. Apa saja yang ada diminda anda itu yang akan memancar keluar ke medan aura anda dalam bentuk kod-kod energy. Aura anda menentukan kadar kesihatan fizikal, mental dan spiritual anda. Jika anda memikirkan jin dengan penuh penghayatan, anda akan merasakan kesan-kesan yang sama seperti anda kerasukan jin. Jika anda memikirkan sihir, maka fikiran-fikiran itu akan memancar ke medan aura anda lalu anda akan merasa simptom-simptom sihir. Keupayaan minda anda sangat hebat. Ia tidak mengenal baik atau buruk, negatif atau positif ia hanya memberikan anda apa yang anda bayangkan. Jadi berhati-hatilah dengan imajinasi anda.

Senario filem-filem seram pada masa kini macam cendawan tumbuh selepas hujan. Selepas anda menonton filem sebegini, ia akan terakam dengan baik di sistem memori anda. Ketika anda memirkan soal jin atau sihir maka memori tentang filem seram yang anda pernah tonton akan muncul ke layar minda anda dan besar kemungkinan anda akan merasakan simptom-simptom sebagaimana yang terjadi kepada pelakon-pelakon di dalam filem tersebut. Lalu anda mengalami kes-kes kerasukan, histeria dan sejenisnya hasil kekuatan minda bawah sedar anda sendiri. Tidak kurang juga kes kerasukan atau histeria yang terjadi kerana masalah psikologi yang ingin mendapat perhatian daripada keluarga atau rakan-rakan. Kes begini sering terjadi kepada gadis-gadis remaja. Semuanya adalah lebih banyak akibat 'mental disorder' dan bukan akibat jin atau sihir.

Ramai diantara anda yang tidak sedar betapa hebatnya minda yang anda miliki. Jauh lebih hebat daripada sihir dan jin. Malah potensinya boleh mengatasi kekuatan malaikat sekalipun. Kenalilah diri anda dengan lebih baik lagi. Minda anda lebih banyak mempengaruhi persekitaran anda berbanding anda dipengaruhi oleh persekitaran.

Semoga kita semua menjadi insan yang lebih baik setiap hari.

Salam kasih dan sayang :)


Monday 18 July 2011

Kenali Diri Anda

Salam :)

Anda perlu mengenali diri anda secara sempurna jika anda ingin mengecapi kebahagiaan yang sejati dan hakiki. Kesengsaraan yang anda alami sebelum ini, sekarang ini dan selepas ini adalah kerana anda belum mengenal diri anda dengan baik. Anda masih dipengaruhi keadaan. Anda masih memerlukan keadaan untuk merasa senang, gembira dan bahagia. Anda hanya akan merasa senang jika keadaan yang muncul dalam kehidupan anda menyenangkan. Anda akan merasa susah jika keadaan susah pada anggapan anda. You see? Anda belum merdeka sebenarnya.

Merdeka pada pandangan spiritual adalah apabila anda tidak lagi dipengaruhi keadaan. Malah anda yang mempengaruhi keadaan. Anda boleh menghadirkan keadaan-keadaan yang baik dan positif. Anda tidak bergantung kepada apapa untuk merasa senang dan bahagia. You are the master of your fate!

Diri anda ada dua aspek, zahir dan batin, terhad dan mutlak. Sepanjang berkaitan dengan batin anda, maka anda adalah mutlak. Sepanjang berkaitan dengan zahir anda maka anda terhad. Perjalan spiritual juga ada dua  aspek, naik dan turun, 'uruj dan nuzul. Dari mutlak menuju terhad, jadilah anda manusia yang lengkap dengan tubuh. Anda kini terhad kerana kemampuan diri anda yang dulunya mutllak kini dibatasi oleh jasad anda. Penglihatan anda yang dulu mutlak kini dibatasi oleh kapasiti mata zahir anda. Begitu juga dengan pendengaran, percakapan, kekuatan, kehendak dan lain-lain sifat anda.

Semakin turun perjalanan anda ke bawah, maka anda akan menemui sifat-sifat peribadi anda. Misalnya sifat zahir seperti gemuk, kurus, tinggi, rendah dan lain-lain. Sifat mental anda seperti pemarah, penakut, berani berkeyakinan dan lain-lain lagi. Sering anda baca di dalam buku-buku motivasi, kenalilah diri anda, kelemahan dan kekuatan anda. Itu hanyalah sifat-sifat peribadi anda, sifat yang muncul dari persepsi-persepsi anda setelah terkurung dalam jasad anda. Anda lebih luas daripada semua itu. 

Kini anda mula ada kesedaran tentang diri anda. Anda merasakan diri anda bukan sekadar ini ini dan begini-begini saja. Jauh di lubuk hati anda terasa meronta-ronta ingin lepas dan bebas dari had dan batasan yang dicipta oleh persepri anda. Lalu anda mula merenung, beribadat dan lain-lain aktiviti kerohanian. Perjalanan menuju ke atas berliku-liku. Banyak simpang siur, banyak perangkap-perangkap. Ibadat, ilmu, dosa, pahala, syurga, neraka boleh menjadi penjara-penjara baru bagi kesedaran anda. Jika ibadat anda membuat kesedaran anda mengejar syurga, jika ibadat anda membuat anda merasa alim dan suci, jika ibadat anda membuat anda tidak semakin mencintai Tuhan maka anda sedang terperangkap dalam penjara-penjara spiritual yang baru. Pendeknya, di mana saja kesedaran anda melekat itulah penjara baru anda dan setiap penjar itu ada siksanya yang tersendiri.

Jika perjalanan anda sukses menuju diri anda yang mutlak, dalam disiplin ilmu sufi itu dikenali sebagai maqam fana. Jika anda kembali memulakan perjalanan menuju ke bawah menuju diri anda yang terhad, dan diri anda tidak lagi terpenjara oleh mana-mana maqam spiritual, maka anda sudah memiliki maqam baqa. Anda kini mutlak dan terhad, anda kini adalah ada dan tiada. Anda menguasai 'uruj dan nuzul, naik dan turun. Anda temui diri anda dalam semua. Anda melihat satu dalam yang banyak, dan banyak dalam yang satu. Anda tidak tergolong di mana-mana golongan dan tidak pula terasing dari mana-mana golongan. Inilah peringkat tertinggi dalam kerohanian.

Kewalian adalah fana, melebur dalam keagungan cinta yang tidak terbatas. Kenabian pula adalah lepas dari fana, lalu kembali ke bawah melayani makhluk, membimbing menuju hakikat sebagaimana yang telah pernah dilaluinya. Itulah beza antara kewalian dan kenabian. Siapakah pewaris nabi? Mereka yang sudah pulang dari kefanaannya, yang sudah memahami perjalanan naik dan turun, yang boleh menilai seluruh maqam dan memberikan bimbingan untuk semua peringkat.

Semoga perjalanan anda semakin terang dan hidup anda semakin bahagia.

Salam kasih dan sayang :)



Wednesday 13 July 2011

Antara Ilmu dan Kesedaran

Salam  :)

Tulisan kali ini boleh anda anggap sebagai versi 'aneh'. Dikhaskan bagi mereka-mereka yang sedang berjuang merebutkan ilmu dan makrifat.

Ilmu boleh mempelajari ilmu dari mana-mana guru samada guru itu manusia atau alam semesta ini. Proses menuntut ilmu adalah dari ayunan sampai ke liang kubur.

Kesedaran adalah apabila anda memahami sesuatu apa adanya, atau sebagaimana mestinya. Ini yang digelar sebagai makrifat. Ilmu makrifat adalah ilmu mengenal sesuatu sampai ke hakikatnya. Sedangkan ilmu makrifatullah adalah ilmu mengenal Allah dalam seluruh aspekNya.

Anda boleh belajar ratusan ilmu, tetapi anda belum tentu dapat memahami semua ilmu itu. Mengetahui dan memahami adalah dua perkara yang berbeza. Anda mengetahui bahawa durian itu rasanya manis. Tetapi anda hanya akan memahami bahawa durian itu manis jika anda sudah memakan durian. Begitulah misalannya antara ilmu dan kesedaran.

Jika anda belajar banyak ilmu, anda akan jadi ahli ilmu. Akan tetapi belum tentu anda akan jadi ahli makrifat. Ilmu itu diusahakan, sedangkan makrifat itu dianugerahkan. Sesiapa saja boleh mengajarkan anda ilmu, namun tiada sesiapa pun yang boleh mengajarkan anda kesedaran. Orang lain hanya boleh menyedarkan anda, tapi tidak mengajarkan anda kesedaran.

'Orang berakal' sangat sering disebutkan dalam kitab suci. Fikiran letaknya di otak, sedangkan akal letaknya di dada. Ilmu pengetahuan dicapai dengan fikiran, sedangkan kesedaran dicapai dengan akal. Anda menyerap pengetahuan dari pandaindera anda, lalu diproses difikiran, maka anda pun jadi tahu tentang sesuatu. Dengan itu anda sudah berilmu. Jika ilmu itu diproses oleh akal anda, disitulah anda akan mula memahami atau sedar hakikat ilmu itu. Jika ilmu ini terhenti hanya difikiran, disitulah timbulnya keegoan dan lahirlah banyak orang-orang fanatik yang merasa hanya dirinya yang benar. Sebab itu sering disebut didalam kitab suci, "Beruntunglah orang-orang yang berakal". Mereka memahami sesuatu dengan lengkap dalam semua aspeknya.

Kalau boleh anda ingin mempelajari semua jenis ilmu yang kedengaran hebat. Anda melompat dari satu guru ke guru lain. Pantang terdengar ada ilmu yang hebat, maka anda pun ingin mempelajarinya. Jadilah anda mahaguru ilmuan. Perlu anda tahu bahawa ini adalah satu perangkap dalam dunia spiritual. Keinginan berlebihan terhadap ilmu adalah juga satu nafsu, yang pada kulit luarnya nampak baik. Namun hakikatnya tetaplah nafsu. Bila memperkatakan tentang nafsu, bukan soal syurga neraka seperti yang anda fahami yang ingin saya sentuh. Soal nafsu, ia adalah pernghalang paling utama jika anda ingin mencapai kesedaran atau makrifat. Sebenarnya, kejahilan adalah satu 'neraka' dengan siksaannya yang tersendiri. Terlalu berhasrat untuk mengekang nafsu pun satu nafsu juga, jadilah ia juga satu penghalang lain menuju kesedaran. Wah, kepala sudah bingung hehe

Ketika saya menghalang anda ( to my student ) untuk mengumpul ilmu, saya menghalang anda untuk mengumpul ilmu yang itu-itu juga spesisnya. Kalau soal paranormal, mahunya dikumpul semua yang kedengaran sakti dan hebat. Itulah nafsu ilmu. Anda harus bezakan antara ahli ilmu dan ahli makrifat. Orang berilmu adalah orang pandai, sedangkan orang makrifat adalah orang yang bijaksana. Anda perlu pandai dan bijaksana untuk hidup bahagia. Namun jika anda hanya sibuk mengumpul ilmu maka anda hanya jadi semakin pandai tapi semakin kurang bijaksana.. Dengan sekali jeling, anda akan dapat membezakan antara orang pandai dan orang bijaksana. Sangat berbeza penampilannya.

Ilmu anda perolehi dari pancaindera. Sedangkan kebijaksanaan anda perolehi dari sudut sunyi di dalam diri anda. Anda hanya akan menikmati kesunyian jika anda behenti berfikir. Dan anda hanya akan berhenti berfikir jika anda menutup pancaindera anda. Bagaimana? Seperti anda ketika tidur. Itulah cara awalnya. Akal anda ( hati nurani ) hanya akan aktif jika anda mengendapkan fikiran anda. Atau bahasa lainnya yang mungkin lebih moden dan mudah difahami, your subconcious mind will be activated when your concious mind is deactivated.

Fikiran anda adalah pusat ilmu yang diakses melalui pancai indera. Manakala hati anda adalah pusat 'ilmu' atau kesedaran yang diakses dari alam suci dimensi tinggi. Semakin bersih hati anda dari pencemaran ego ( fikiran, nafsu ) maka makin tinggilah dimensi yang boleh diakses oleh hati anda dan itu bermakna semakin tinggi kesedaran atau makrifat anda. Ilmu kesufian membahasakannya dengan maqam-maqam, ilmu energy membahasakannya dengan cakra-cakra. Sama saja intinya.

Berguru ada tiga tahap. Pertama anda berguru dengan manusia. Guru ini akan mengajarkan anda tenik-teknik sahaja dan kadang-kadang hikmah-hikmah yang menolong anda meningkatkan kesedaran. Kemudian jika anda sudah mencapai level tertentu, maka anda akan menemui 'guru sejati' anda. Guru sejati bukanlah satu sosok asing dari luar diri anda, tetapi ia adalah hati nurani anda yang murni, yang membisikkan ilham-ilham yang baik. Bukan juga anda mendengar bisikan-bisikan di telinga anda. Bila 'guru sejati' mengajar anda maka selalunya anda akan sampai ke saat, 'Ahha...begini rupanya'. Atau 'Ahha...saya ada idea'. Lebih kurang begitulah prosesnya. Guru sejati inilah yang akan membawa anda kepada Sang Mahaguru dan disinilah bermulanya 'Kelas Hakikat' yang hanya anda yang tahu nanti modul-modulnya.

Satu perkara saja ingin saya simpulkan. Anda tidak akan pernah sampai kepada ilmu-ilmu hakikat jika anda masih sibuk mengumpul ilmu-ilmu dari pancaindera anda, menyesakkan fikiran anda dengan teori-teori. Anda hanya akan mencapai ilmu-ilmu hakikat dengan cara memasuki sudut diri anda yang sunyi dan tenteram melalui tafakkur atau meditasi yang semakin dalam menuju Ilahi. 

Selamat meningkatkan kesedaran anda, selamat menajadi manusia pandai dan bijaksana.

Salam kasih dan sayang  :)

Tuesday 12 July 2011

Energy Anti Scanning

Salam :)

Ramai rakan-rakan yang bertanya bagaimana untuk mengelak daripada di 'scan' oleh sesiapa. Maklumlah, jika terjumpa dengan orang-orang pandai 'scan' ni kita boleh 'ditelanjangi' bulat-bulat sekalipun kita memakai 10 lapis baju tebal. 

Kalau seseorang 'scan' kita, bukanlah tubuh fizikal kita yang digeledah tetapi yang diselongkar adalah tubuh energy kita yang mana mengandungi fikiran-fikiran kita, sifat dalaman kita, emosi kita dan rahsia-rahsia yang kita sembunyikan jauh di lubuk pemikiran kita. Sebanyak mana yang boleh diakses oleh si 'scanner'? Itu bergantung kepada kepakarannya.

Orait, so macam mana kita hendak mengelakkan diri daripada di 'scan' oleh para 'scanner' ni? Pertama sekali kita perlu memahami nature 'scan-mengscan' ni. Bila kita melakukan 'scan' sebenarnya gelombang fikiran kita bergerak menembusi dan menyelubungi subjek yang di'scan'. Data-data yang berbentuk raw energy pada subjek akan ditafsir oleh minda kita dalam bentuk bayangan-bayangan di layar minda kita.

Jadi untuk menghalang gelombang fikiran atau kekuatan batin seseorang daripada menggeledah diri kita, maka kita juga memerlukan kekuatan batin yang lebih kuat lagi. Salah satu cara membuat benteng perlindungan atau aura shield daripada sebarang 'scanning' adalah seperti berikut,

1. Tenang dan rileks. 
2. Baca Bismillah atau apapa ayat yang anda suka.
3. Niat dengan afirmasi, baca dimulut dengan perlahan dan mantap. 

Afirmasi lapisan pertama, " Saya niat membuat aura perlindungan anti scan lapisan pertama dengan cahaya yang sangat terang menyilaukan yang menyelubungi seluruh diri saya secara terus-menerus dan sempurna. Terjadilah ". Tenang selama 1 minit. Biarkan energy terbentuk sempurna.

Afirmasi lapisan kedua. " Saya niat membuat aura perlindungan anti scan lapisan kedua dengan kegelapan yang sangat pekat yang menyelubungi seluruh diri saya secara terus-menerus dan sempurna. Terjadilah ".  Tenang selama 1 minit. Biarkan energy terbentuk sempurna.

Afirmasi lapisan ketiga. " Saya niat membuat aura perlindungan anti scan lapisan ketiga dengan cahaya yang sangat terang menyilaukan yang menyelubungi seluruh diri saya secara terus-menerus dan sempurna. Terjadilah ".  Tenang selama 1 minit. Biarkan energy terbentuk sempurna.

4. Sudahi dengan mengucap syukur.

Ucapkan afirmasi di atas dengan rileks dan tenang, sambil banyangkan apa yang anda ucapkan itu. Dengan itu anda akan memadukan kekuatan dari cakra jantung, cakra kerongkong dan cakra ajna anda.

Bagi anda yang tidak biasa dengan ilmu-ilmu energy, kemungkinan ucapan anda tidak membentuk energy yang besar. Tetapi jika afirmasi/ucapan di atas dilakukan berulang-ulang insyaAllah pasti akan terbentuk energy yang hebat. 

Hasilnya, jika anda seseorang yang cuba meng'scan' anda, maka kekuatan batinnya akan melihat sinar terang yang sangat menyilaukan. Untuk menembusi lapisan ini, dia memerlukan kekuatan yang extra. Jika tembus juga, maka dia hanya akan melihat kegelapan. Tapi jangan risaulah, lapisan pertama pun sudah sangat susah unutk ditembusi. 

Namun jika anda berhadapan dengan orang-orang yang tinggi spiritualnya, biasanya orang begini tahap energynya sudah mencapai tahap kristal yang sangat tinggi. Tiada benteng yang tidak dapat mereka tembusi. Namun jika orang begini 'scan' anda maka usah anda risau, rahsia anda selamat di tangan mereka, malah biasanya dengan kenaikan hati mereka anda akan didoakan atau diberikan bimbingan. Tujuan energy anti scan ni hanyalah perlindungan dari orang-orang yang ada niat jahat atau nakal.

Bah ok, selamat mencuba. Semoga anda sentiasa sukses.

Salam kasih dan sayang :)


Thursday 7 July 2011

Mesej Di Sebalik Azan.

Salam :)

Setiap hari 5 kali azan dan iqamah di laungkan di seluruh masjid, surau atau mana-mana tempat ibadat yang aktif. Ini menandakan ada suatu mesej penting di dalam azan itu yang harus kita perhatikan dengan serius dan teliti. Azan adalah seruan untuk kita melakukan solat. Solat yang sempurna, bukan sekadar gerakan-gerakan fizikal.

Setiap seruan dalam azan itu mengandungi mese yang harus kita cerna dan serap maknanya.

Allahu Akbar Allahu Akbar...Seruan pertama, kita diseru membesarkan Allah, mengutamakan Allah melebihi segalanya dan sebelum segalanya. 

Asyhadualla ilahaillallah...Ini adalah Syahadat Iman. Kita diseru untuk mentauhidkan Allah, mengesakan Allah dalam seluruh aspeknya, Zat, Sifat, Asma dan Af'alNya. Tidak mensyirikkan Allah dengan apapun juga secara terang-terang ataupun halus.

Asyhaduanna Muhammadan Rasulullah...Ini adalah Syahadat Amal. Kita diseru mengakui Muhammad sebagai Rasul Allah, penyampai mesej Allah yang menjadi idola dalam semua aspek kehidupan kita. Setelah mengakui Keesaan Allah, maka kita diseru untuk mematuhi Allah sebagaimana yang ditunjukkan Rasulullah, dan bukan sosok atau tokoh lain.

Hayya 'alassolah...Marilah dirikan solat. Mendirikan solat dengan lengkap syariat dan hakikatnya, bukan sekadar gerakan-gerakan fizikal yang tidak dimaknai.

Hayya 'alalfalah...Marilah menuju kejayaan. Setelah beriman kepada Allah, dan mematuhi Allah seperti yang ditunjukkan RasulNya, lalu mendirikan solat dengan sempurna maka bersedialah dikurniakan kejayaan. Kejayaan yang luas, meliputi zahir dan batin, dunia dan akhirat.

Allahu Akbar Allahu Akbar...Setelah berjaya dalam apa juga bidang, janganlah lupa kebesaran Allah. Tetapkanlah Allah nombor satu di hati melebihi apapu juga. Sepintar manapun anda jadi, sekaya apapun anda jadi, sefamous manapun  anda capai, sekuat apapun anda kini, maka janganlah lupa bahawa semua itu kurnia Allah, dan Allah adalah lebih utama daripada semua itu.

Lailaha illallah...Tetaplah mengesakan Allah pada setiap waktu, sehinggalah ke hembusan nafas yang terakhir.

Selamat berbahagia untuk anda semua. Semoga kita semakin baik dari hari ke hari.

Salam kasih dan sayang :)


Tuesday 5 July 2011

Kenapa Anda Dilarang Mengumpat?

Salam :)

Mengumpat adalah satu perbuatan yang ditegah oleh mana-mana ajaran spiritual. mengumpat adalah memperkatakan perkara-perkara buruk tentang orang lain tanpa pengetahuan orang tersebut. Perbuatan mengumpat seringkali dikaitkan dengn amalan orang perempuan. Tapi jangan silap, lelaki juga sudah ramai yang syok dengan amalan mengumpat.

Mungkin anda perasan sesekali atau mungkin setiap kali, jika anda bercerita tentang orang lain apatah lagi kalau yang buruk-buruk memberikan satu rasa 'nikmat' yang tersendiri di hati anda. Mungkin kerana fitrah manusia adalah ingin merasa lebih dari orang lain. Jika anda menceritakan keburukan orang lain, mungkin anda akan merasa lebih baik dari orang itu, atau mungkin anda akan merasa setara atau lebih kurang dengan dia. Manusia ada satu perasaan suka jika orang lain lebih rendah dari dirinya atau paling tidak setara dengan dirinya... Alah, usah nafikan. Ini fitrah kita sebagai manusia. It's our very nature as a human being.

Ok, mari kita lihat dengan lebih teliti alasan disebalik larangan mengumpat orang lain dari sudut hukum alam yang sering saya biacarakan dalam tulisan-tulisan saya di blog ini. Jika anda mengumpat, maka anda membicarakan tentang keburukan orang lain. Keburukan-keburukan itu akan terbayang difikiran anda. Semakin sering anda mengumpat dan semakin ramai orang yang anda umpat, maka semakin padat minda anda dengan bayangan-bayangan keburukan orang lain. Anda sudah boleh jangka apa yang akan terjadi kepada anda? Ya betul...oleh kerana minda anda sedang sesak dengan fikiran-fikiran buruk tentang orang lain yang anda umpat, dan berterusan pula, maka memancarlah gelombang fikiran yang buruk secara konsisten dari minda anda dan bergetar mempengaruhi alam sekeliling anda. Anda menjadi pusat pancaran energy negatif yang akan menarik lebih banyak energy negatif kepada diri anda.


Daripada Ibnu Jabir, kami bersama Rasulullah SAW. Tiba-tiba, kami tercium bau yang amat busuk. Rasul bersabda, “ Adakah kamu tahu apakah bau ini? Inilah bau bagi orang-orang yang mengumpat orang-orang beriman.” (Hr Ahmad)


Nabi SAW dapat mencium bau mengumpat itu. Itulah bau energy yang kita perkatakan di atas tadi!. Anda tidak akan dapat menghidu bau energy dengan hidung fizikal anda, tetapi harus dengan 'hidung mental' anda. Betapa hebatnya amalan mengumpat ini. Hebat dari segi keburukannya, langsung tiada kebaikannya.

Ada kata-kata bijaksana yang pernah saya baca dulu, lebih kurang begini bunyinya.

Terdapat tiga golongan manusia yang diukur dari kehebatan peribadinya.

1. Orang hebat. Iaitu mereka yang membicarakan perkara-perkara besar, idea-idea, gagasan-gagasan dan impian-impian besar.
2. Orang lemah. Iaitu mereka yang suka membicarakan hal orang lain.
3. Orang bodoh. Iaitu mereka yang asyik membicarakan diri sendiri, masuk bakul angkat sendirilah lebih kurang.


Renungkan-renungkanlah...Anda dalam golongan mana? Bersikap jujurlah dengan diri anda serta optimislah untuk mengubah diri kepada yang lebih baik. Seorang sifu saya memberi kata hikmat, " Be the best u can be everyday ".

So jauhilah amalan mengumpat. Belajarlah untuk memikirkan perkara-perkara yang besar, idea-idea, dan gagasan-gagasan hebat. Fikiran anda akan menentukan status dan tempat anda pada setiap waktu.

Semoga kebaikan dan keberkatan sentiasa bersama anda.

Salam kasih dan sayang :)

Friday 1 July 2011

Jadi sebelum Jadi

Salam :)

Selamat berhari jumaat. Kedudukan hari jumaat adalah umpama cakra jantung di tubuh anda. Sangat mulia dan sangat istimewa. 

Dulu zaman kanak-kanak, ayah saya selalu menasihatkan. Sebelum jalan keluar dari rumah ke mana-mana, apatah lagi perjalanan jauh, saya disuruh untuk duduk dengan tenang. Kemudian disuruh membayangkan yang saya sudah sampai ke destinasi yang saya hendak tuju. Saya buat saja tanpa ada apapa persoalan. Saya tidak faham mengapa harus ada amalan begitu. Namun saya amalkan juga kerana saya berpegang bahawa nasihat orang tua adalah kebaikan untuk saya. Hasilnya memang setiap perjalanan saya tidak kira ke mana sentiasa selamat sejahtera.

Semakin dalam menyelami ilmu energy, semakin saya faham perkara-perkara yang selama ini saya fikir tidak masuk akal. " Sampai dulu sebelum sampai", inilah falsafah yang diajarkan oleh ayah saya dulu dengan amalan tadi. Sama juga dengan tajuk artikel ini, " Jadi sebelum jadi ". Seperti yang saya sebutkan di artikel sebelum ini, semua perkara tercipta sebanyak dua kali. Pertama ia tercipta di alam dimensi ke 4, iaitu sebagai wujud, idea, wujud ilmu atau wujud energy. Kemudian proses penciptaan berjalan lalu wujud itu terzahir di alam 3 dimensi yang boleh kita lihat, dengar dan sentuh. 

Jika anda mahu sesuatu, 'jadikan' dulu di fikiran anda. Pasti ia menjadi mudah untuk 'jadi' di alam nyata. Jika anda hendak datang ke Kota Kinabalu, 'jadikan' dulu di fikiran anda. Bayangkan anda 'sedang' berada di Kota Kinabalu dengan bayangan yang 'terasa real'. Anda pasti akan sampai ke Kota Kinabalu tanpa ada halangan.

Sama juga dengan perkara lain. 'Jadikan' dulu di fikiran anda, pasti ia mudah 'jadi' di alam nyata. Jika anda memikirkan ia susah, maka 'susah' itu sudah ' jadi' di fikiran anda dan akan jadi pula di alam nyata. Jadilah anda sentiasa 'susah'. Apa saja yang anda fikirkan, anda bayangkan dan anda rasakan 'real' difikiran anda, maka itulah yang akan anda alami di alam nyata.

Badan anda mewakili alam dimensi ke 3, sedangkan jiwa anda adalah dimensi ke 4. Badan anda adalah syariat, dan jiwa anda, ruh anda adalah hakikat. Zahir dan batin sudah ditakdirkan sentiasa berpasangan. Syariat dan hakikat sentiasa bersama. Fantasi pasangannya realiti. Seluruh alam ini adalah bermula dari fantasi. Iaitu 'fantasi' ilmu-ilmu Allah. Dulunya alam ini hanya wujud alam ilmu-ilmu Allah. Itu yang saya katakan 'fantasi'. Kemudian setelah data penciptaan lengkap dalam ilmuNya barulah ia diberikan perintah 'JADI' dan terzahirlah alam ini exactly seperti dalam wujud 'fantasi' tadi. Itu adalah fantasi tahap tinggi. Berita baiknya adalah, manusia ada unsur ketuhanan dalam dirinya, iaitu  RUH. Anda mampu menjadikan fantasi anda realiti. Jika anda mempelajari seni fantasi yang betul, maka anda akan selalu mengecapi realiti yang indah. 

Hakikatnya adalah anda sentiasa mencipta. Setiap detik dalam hidup anda mencipta. Baik dan buruk yang menimpa anda adalah hasil ciptaan anda sendiri. Setiap kali anda memikirkan keburukan, lalu anda merasa buruk di emosi anda , maka sekejap lagi 'ciptaan' anda itu akan datang kepada anda dalam perlbagai bentuk. Setiap kali anda memikirkan kebaikan, dan anda merasa baik di emosi anda, tidak selalunya yang baik datang kepada anda. Kenapa? Sebab fitrah anda adalah, anda sentiasa lebih yakin pada keburukan, dan anda sering ragu terhadap kebaikan. Anda selalu lebih yakin bahawa peristiwa buruk akan berlaku, dan sering ragu bahawa kebaikan akan terjadi. Anda menafikan? Wah, u have some ego issues lah :)

Jadikan dulu di fikiran anda, pasti akan jadi di alam anda yang nyata. Bagaimana anda inginkan sesuatu menjadi milik anda, jika di fikiran pun ia susah untuk jadi?

Selamat memperbaiki diri. Semoga anda semakin menjadi-jadi selepas ini :)

Salam kasih dan sayang :)


BAHAGIA DAN BERLIMPAH

BAHAGIA DAN BERLIMPAH Kondisi hidup mengikuti kondisi hati. Di sini, hati mewakili emosi dan perasaan. Perasaan itu sifatnya magnetik. Ia ...