Your Magic Blog

Friday 16 June 2023

BAHAGIA DAN BERLIMPAH

BAHAGIA DAN BERLIMPAH



Kondisi hidup mengikuti kondisi hati. Di sini, hati mewakili emosi dan perasaan.

Perasaan itu sifatnya magnetik. Ia menarik orang, keadaan dan pengalaman ke dalam kehidupan kita.

Perasaan adalah buah daripada pemikiran. Fikiran mencetuskan perasaan.

Proses berfikir di otak melibatkan proses impuls elektrik di antara neuron. Fikiran bersifat elektrik. Ia energetik, dinamik dan terlibat dengan proses mental seperti aktiviti berfikir, pertimbangan dan analisis.

Suatu pemikiran memancarkan frekuensi ke lautan energi, ia menghasilkan bentuk-bentuk energi mengikut imaginasi kita.

Ini diikuti oleh reaksi dari hati. Muncul perasaan tertentu yang merespon imaginasi tadi. Perasaan yang bersifat magnetik ini menarik apa yang kita imajinasikan tadi menjadi sesuatu yang kita alami di dalam kehidupan kita.

Contoh mudah,

Anda fikirkan hutang. Terbayang tiada duit atau kurang duit nak bayar bil-bil. Terbayang wajah anda yang murung di dalam keadaan yang daif.

Perasaan pun muncul. Rasa susah, sedih, kecewa, takut dan lain-lain perasaan negatif. Perasaan ini menarik apa yang anda bayangkan tadi menjadi sebuah pengalaman nyata di dalam kehidupan nyata.

Ini negative manifestation... Dan semua orang telah terbiasa dan terlatih dari kecil melakukannya.

Pendekat kata, secara tidak sengaja, kita telah menjadi Pakar Manifestasi Negatif. Untuk mengubah kebiasaan ini, tersangatlah susah.

Namun kalau kita belajar dan terus menerus melatih diri, keadaan ini boleh kita ubah.

Apabila kita memikirkan kesuksesan dan kemakmuran, kita terbayang kehidupan yang berlimpah dengan rezeki. Wang banyak boleh beli macam-macam dan menikmati kemewahan hidup.

Imajinasi fikiran ini mencetuskan perasaan positif. Rasa syukur, gembira dan semangat. Perasaan-perasaan ini menarik pengalaman tersebut ke dalam kehidupan kita untuk kita alami.

Ingat peristiwa-peristiwa lalu?

Ketika anda marah, semakin banyak orang dan keadaan yang hadir untuk anda marah.

Ketika anda dikecewakan oleh cinta pertama, cinta-cinta seterusnya turut mengecewakan anda.

Pengalaman yang sama, dengan orang yang berbeza, pada keadaan yang berbeza... Kerana dihasilkan oleh fikiran dan perasaan yang sama karakternya, iaitu 'mentaliti negatif'.

Bagaimana mahu membersihkan mentaliti negatif ini?

Kaedah paling biasa adalah dengan mengubah cara berfikir dan berperasaan. Cuma kaedah ini kadang bikin bingung, kerana ada begitu banyak karakter fikiran dan perasaan yang kita akan alami.





Kaedah paling efektif, menurut saya adalah dengan Zikrullah.

Dengan zikrullah yang konsisten, semakin lama semua mentaliti negatif akan jadi bersih, dan diganti oleh mentaliti yang positif.

Ia mudah. Part susahnya adalah pada bab KONSISTENSI. Sebab manusia suka yang segera. Mee segera, makanan segera, dan skim segera kaya.

Sifat suka segera ini yang paling menguji, sebab ia buat kita mudah putus ada jika tidak nampak hasilnya dalam beberapa hari.

Zikrullah menghasilkan fenomena perubahan pada mindset.
Dengan itu ia menghasilkan perubahan pada medan energi.
Seterusnya ia menghasilkan perubahan pada keadaan hidup kita.

Pendek kata, Zikrullah mengubah mindset, medan energi dan keadaan hidup.

Singkat kata, Zikrullah menghasilkan keajaiban!

Zikrullah itu memberikan kita satu kefahaman dan kesedaran yang elite.

Bahawa dalam hidup ini, tiada apa yang perlu dikejar, kerana kekayaan dan kelimpahan Allah telah ada di sekeliling dan menjamin semua keperluan dan keinginan kita.

Memiliki fikiran dan perasaan sebegini, ia menghasilkan satu medan energi, yang seterusnya menciptakan keadaan hidup yang selaras dengannya.

Hidup tanpa sibuk mengejar apapa.
Kerana apa yang mahu dikejar, apabila segalanya telah ada, mencukupi, bahkan berlimpah.

Hidup tanpa perlu bersaing dan memijak sesiapa.
Kerana untuk apa bersaing dan memijak orang lain, kerana kekayaan dan kelimpahan Allah itu tidak pernah berkurang. Kita semua ada bahagian, tidak perlu berebut dan bercakaran.

Hidup ini.... Bahagia dan berlimpah!



~Much Love~


Tuesday 23 May 2023

Pernafasan : Menjelajah Keajaiban Respirasi yang Mempengaruhi Tubuh dan Minda Anda

Pernafasan adalah proses biologi yang kita lakukan setiap hari secara automatik. Ia adalah satu tindakan yang jarang kita fikirkan secara mendalam. 


Tetapi tahukah anda bahawa kita sebenarnya boleh mengawal pernafasan kita dengan cara yang luar biasa? 


Salah satu teknik yang semakin popular adalah pernafasan Wim Hof, yang menggabungkan aspek pernafasan dan pendedahan kepada suhu sejuk untuk mencapai manfaat yang menakjubkan bagi tubuh dan minda kita.



Pernafasan Wim Hof



Sejarah Pernafasan Wim Hof


Teknik pernafasan ini diberi nama sempena penciptanya, Wim Hof, yang juga dikenali sebagai "Ice Man" kerana kebolehannya bertahan dalam suhu yang sangat sejuk. 


Wim Hof adalah seorang ahli pernafasan dan ‘tahan sejuk’ dari Belanda yang telah mencapai banyak pencapaian luar biasa dalam menguasai tubuh dan mindanya melalui pernafasan dan pendedahan kepada suhu yang ekstrim sejuk.


Beliau mengembangkan teknik pernafasan yang unik yang melibatkan pernafasan dalam, penahanan nafas, dan pendedahan kepada suhu sejuk. 


Dalam perjalanannya, Wim Hof telah menakluki gunung-gunung tertinggi di dunia hanya dengan memakai seluar pendek, berenang dalam air beku, dan mencipta beberapa rekor dunia yang mengagumkan. Kebolehan beliau untuk mengawal suhu badan dan sistem imunnya yang luar biasa telah menarik minat ramai dalam komuniti sains dan kesihatan.


Kajian dan Manfaat


Kajian yang dilakukan ke atas pernafasan Wim Hof menunjukkan banyak manfaat yang luar biasa. 


Satu kajian terbitan tahun 2014 yang dilakukan oleh Kumpulan Penyelidik Radboud University Nijmegen di Belanda menunjukkan bahawa mereka yang menyertai latihan pernafasan Wim Hof menunjukkan peningkatan kemampuan untuk mengawal sistem saraf autonomi, meningkatkan ketahanan terhadap tekanan, dan menguatkan sistem imun mereka.


Pernafasan Wim Hof diketahui merangsang sistem saraf simpatik, yang mengawal tindak balas tubuh terhadap tekanan. Ini membolehkan seseorang mempengaruhi denyutan jantung, suhu badan, dan tindak balas imun mereka. 


Dalam kajian ini, peserta yang dilatih dengan teknik pernafasan Wim Hof dapat mengawal kadar jantung, suhu badan, dan tindak balas imun mereka dengan lebih berkesan.


Selain itu, teknik pernafasan ini dikaitkan dengan peningkatan energi, pengurangan stres, dan peningkatan kesejahteraan emosi. 


Dalam keadaan yang menekan, pernafasan Wim Hof membantu mengurangkan kadar kortisol, hormon stres, dan meningkatkan kadar hormon-hormon yang memberi kesan positif seperti dopamin, serotonin, dan peptida penahan sakit yang dihasilkan oleh tubuh sendiri. 


Ini memberikan perasaan kesejahteraan dan kelegaan yang menyeluruh.


Selain manfaat fizikal dan emosi, pernafasan Wim Hof juga telah menunjukkan kesan positif dalam peningkatan daya tahan tubuh terhadap penyakit dan proses penyembuhan. 


Kajian menunjukkan bahawa pengaktifan sistem imun melalui teknik pernafasan ini menghasilkan pelepasan sel-sel imun yang berfungsi untuk melawan jangkitan, menyembuhkan luka, dan meningkatkan kesihatan secara keseluruhan.


Apabila tubuh menghadapi pendedahan kepada suhu sejuk, seperti dalam mandi air sejuk atau berlatih dalam persekitaran yang sejuk, ia merangsang proses penghasilan hawa panas di dalam tubuh. 


Ini meningkatkan suhu badan dan membuka "farmasi" otak, yang menghasilkan endorfin, serotonin, dan dopamin secara semulajadi. 


Kesan ini memberikan rasa euforia dan kepuasan, dan juga memberikan manfaat kepada tubuh dalam meningkatkan daya tahan, mengurangkan rasa sakit, dan meningkatkan mood secara keseluruhan.


Bagi sesetengah orang, pernafasan Wim Hof juga dikaitkan dengan peningkatan fokus dan konsentrasi mental. 


Latihan ini mengajar kita untuk mengawal pernafasan dan mengalihkan perhatian kita kepada perasaan dan pengalaman semasa. Ini membantu menghilangkan kebisingan mental dan meningkatkan kesedaran diri, yang penting dalam mencapai prestasi yang lebih baik dalam pelbagai aspek kehidupan


Dr. Stephen Porges, seorang saintis dan profesor psikiatri dari University California, yang telah mengkaji kesan stres terhadap sistem saraf, menemukan bahawa pesakit yang mengalami penyakit seperti Da Costa atau Neurocirculatory Asthenia, seperti kesemutan di jari-jari, cirit-birit kronik, denyutan jantung yang cepat, diabetes, dan disfungsi ereksi kerap dirawat bagi setiap gejala ini dengan memberi tumpuan kepada organ-organ individu. 


Tetapi sebenarnya, tidak ada masalah pun dengan perut, jantung, atau organ seks mereka. Apa yang sering mereka alami adalah masalah komunikasi di sepanjang rangkaian saraf vagus dan autonomik yang disebabkan oleh stres yang kronik. 


Memperbaiki sistem saraf autonomik dapat menyembuhkan atau mengurangkan gejala-gejala ini. 


Dalam dekad yang lalu, pakar bedah telah memasang nod elektrik pada pesakit yang berfungsi sebagai saraf vagus tiruan untuk memulakan semula aliran darah dan komunikasi antara organ-organ. 


Prosedur ini disebut sebagai rangsangan saraf vagus, dan ia sangat berkesan bagi pesakit yang mengalami kecemasan, kemurungan, dan penyakit autoimun.


Tetapi ada cara yang lain, yang kurang invasif, yang ditemui oleh Dr. Porges untuk merangsang saraf vagus, iaitu pernafasan.


Pernafasan adalah fungsi autonomik yang dapat kita kawal secara sedar. Walaupun kita tidak boleh melambat atau mempercepatkan denyutan jantung atau penghadaman, atau memindahkan darah dari satu organ ke organ yang lain, kita dapat memilih bagaimana dan bila untuk bernafas. 


Dengan bernafas perlahan secara sedar, ia akan membuka saluran komunikasi sepanjang rangkaian saraf vagus dan buat kita rileks kerana sistem saraf parasimpatetik jadi aktif berfungsi


Tapi, ketika kita bernafas dengan laju dan berat dengan sengaja, ala Wim Hof Breathing, keadaan tadi terbalik. Badan kita dipicu untuk mengalami stres berat.


Ini akan melatih kita untuk mengakses sistem saraf autonomik dan mengawalnya secara sedar, memberikannya tekanan berat secara khas, dan kemudian membuatnya kembali rileks.


Selepas latihan ini, ia akan membuat badan kita santai, dan mengalami pemulihan seharian. Kita boleh fokus buat kerja-kerja lain dengan lebih sihat dan selesa.


Semua ini sepatutnya mustahil dari segi biologi. Sistem saraf autonomik, mengikut definisinya, sepatutnya menjadi autonomik, iaitu automatik, seolah-olah di luar kawalan kita. Selama seratus tahun, kepercayaan ini yang diyakini oleh ahli perubatan. 


Namun fenomen yang ditunjukkan oleh para pengamal pernafasan Wim Hof telah mengguhah kepercayaan tersebut.


Kumpulan yang dilatih oleh Wim Hof mampu mengawal kadar jantung, suhu badan, dan tindak balas imun mereka, serta merangsang sistem simpatis. 


Amalan pernafasan yang laju dan berat bersama dengan pendedahan kesejukan secara berkala, didapati mampu membebaskan hormon tekanan seperti adrenalin, kortisol, dan norepinefrin mengikut arahan. 


Lonjakan hormon adrenalin memberikan tenaga dan melepaskan sel-sel imun yang diprogramkan untuk menyembuhkan luka, melawan patogen, dan jangkitan. 


Lonjakan hormon kortisol yang besar membantu menurunkan tindak balas imun keradangan jangka pendek, manakala semburan hormon norepinefrin mengalihkan aliran darah dari kulit, perut, dan organ reproduktif ke otot, otak, dan kawasan-kawasan penting dalam situasi yang stres.


Pernafasan Wim Hof memanaskan badan dan membuka "farmasi" otak, yang mana mengalirkan hormon peptida penahan sakit, dopamin, dan serotonin ke dalam aliran daeah. Semua itu hanya dengan beberapa puluh atau ratus kali tarikan dan hembusan nafas yang laju dan berat.


Dengan kata lain, Wim Hof telah membuktikan bahawa kita memiliki keupayaan untuk mengawal fungsi tubuh kita yang sebelum ini dianggap di luar kawalan kita. 


Melalui teknik pernafasan dan pendedahan kepada kesejukan, kita dapat mengaktifkan respon fisiologi tertentu dalam tubuh kita. Ini membuka peluang kepada potensi penyembuhan dan kesejahteraan yang sebelum ini dianggap mustahil.


Studi ini mengilhami para penyelidik dan pengamal teknik nafas Wim Hof di seluruh dunia. 


Mereka telah melaporkan manfaat yang luar biasa termasuk peningkatan sistem imun, pengurangan stres, peningkatan energi, dan pengendalian emosi yang lebih baik. 


Teknik pernafasan Wim Hof dan pendedahan kepada kesejukan bukan sahaja memberikan manfaat fizikal, tetapi juga memberi kesan yang positif pada kesejahteraan mental dan emosi.


Dalam dunia moden yang serba sibuk dan penuh tekanan, ilmu Wim Hof memberikan pandangan baru tentang potensi dan kekuatan kita sebagai manusia. 


Ia menunjukkan bahawa kita mempunyai kebolehan yang luar biasa untuk mengawal tubuh dan minda kita, dan dengan itu, kita dapat mencapai tahap kesejahteraan dan prestasi yang lebih tinggi.


Jadi, mari kita hirup nafas dalam-dalam dan berdebar, sambil mengalihkan fikiran kita kepada potensi yang ada dalam diri kita. Siapa sangka, mungkin dengan dengan pernafasan yang tepat, kita boleh membuka pintu kepada kekuatan yang luar biasa yang selama ini tersembunyi dalam diri kita.


Di bawah ini adalah link ke video demo pernafasan ketika saya buat kelas Sesi Latihan Pernafasan pada bulan Ramadan yang lalu:


https://youtu.be/SxLrESL8KVM



***

PERHATIAN:Adalah dinasihatkan agar para pembaca tidak meniru larihan pernafasan yang laju dan berat tanpa mempelajari dan memahaminya dengan baik terlebih dahulu. Ibu mengandung dan para penderita tekanan darah atau masalah jantung tidak digalakkan membuat latihan pernafasan yang berat seperti ini.


.


Salam cinta dan kedamaian 😊🙏




Thursday 18 May 2023

BERTUHAN ITU INDAH

 BERTUHAN ITU INDAH


Naluri manusia ni secara fitrah memerlukan suatu kuasa yang lebih besar daripada dirinya untuk tempat dia berlindung, meminta, bersandar dan bergantung.








Apabila keperluan jiwanya itu terpenuhi, maka manusia akan merasa selamat, bahagia, tenang, aman, dan terlengkapi.

Sebab itulah, manusia akan selalu mencari sesuatu untuk dia berlindung, meminta, bersandar dan bergantung.

Ada orang yang bersandar pada 'kuasa' seseorang yang memiliki kuasa politik. Ada orang yang mencari sandaran pada suatu kumpulan atau organisasi. Ada orang yang mencari sandaran pada suatu objek yang dia percayai ada kuasa ghaib.

Dia akan merasa selamat. Dia akan merasa bebas. Dia gembira dan dia bahagia.

Tak usah pandang orang lain. Tengok diri kita cukup. Anda sekarang sedang bersandar kepada kuasa apa atau siapa?

Mungkin ibu bapa anda. Mungkin seorang YB, Datuk, Tan Sri. Mungkin seorang mogul atau juragan kaya. Atau mungkin suatu objek yang ada suatu daya ghaib. Mungkin juga sebuah saka, jin, atau khadam dari kalangan jin.

Pokoknya ada suatu kuasa yang 'payung' anda, yang buat anda merasa selamat dan tenteram.

Kita akan selalu mencari suatu 'daya' yang boleh mencukupi keperluan dan memenuhi keinginan kita.

Dalam kehidupan kita ni, kita akan terus mencari dan mencari, dari satu objek ke satu objek, dari satu entiti ke satu entiti, untuk memenuhi seruan jiwa fitrah kita. Kita akan terus mencari, sampai kita puas hati.

Ketika kita bersandar pada kuasa dan pengaruh manusia atau suatu organisasi, pada awalnya kita akan merasa selamat dan bahagia. Namun semakin lama kita akan melihat kelemahan demi kelemahan, dan timbul bermacam konflik. Lalu kita berfikir, ini bukan kuasa yang tepat untuk aku bersandar.

Lalu kita pun meneruskan pencarian ke kuasa-kuasa seterusnya. Sampai akhirnya kita merasakan semuanya, dan kita mengambil kesimpulan, bahawa di atas muka bumi ini, tiada kuasa yang benar-benar mutlak dan boleh kita sandarkan harapan sepenuhnya.

Lalu akhirnya kita mula mencari Kuasa Mutlak Yang Tanpa Batas. Jiwa kita hanya akan puas hati ketika bertemu Yang Maha Mutlak kuasanya, yang tiada lagi di atasnya.

Jiwa kita yang fitrahnya luas ini, hanya akan puas  kalau dia bertemu dan bersandar pada Yang Maha Luas Tanpa Batas, kerana dia datang dari situ, hanya akan bahagia kalau dia kembali ke situ.

Tidak akan ada objek dan entiti terbatas yang mampu memuaskan Sang Jiwa selain Zat Yang Maha Luas.

Sebab itu, kekayaan, kekuasaan, manusia dan kebendaan apapun yang Sang Jiwa miliki, akhirnya dia akan bosan. Sebab bukan itu yang dia cari.

Pada fasa awal sahaja dia merasa teruja, tapi lama-kelamaan, kekayaan, kekuasaan, para pengikut yang ramai, dan material yang banyak tidak lagi mampu menghiburkannya. Sang Jiwa akan kembali mencari sandaran-sandaran baru untuk menghiburkan kehausannya.

Sekarang ini, begitu ramai orang kaya dan terkenal dari kalangan politikus, mogul bisnes atau para artis tenar yang mencari pelarian jiwa ke ajaran-ajaran spiritual dan keagamaan.

Kenapa? Kerana jiwanya kembali haus. Ternyata kekuasaan, kekayaan dan populariti tidak mampu memberikan kepuasan terhadap kehausan jiwanya.

Manusia perlukan Tuhan. Cerita tentang Tuhan, konsep tentang Tuhan, itu pun awalnya mengujakan Sang Jiwa. Tapi lama kelamaan dia akan bosan lagi.

Sang Jiwa perlu mengalami Tuhan. Ertinya merasakan kedekatan kepadaNya. Merasakan ketundukan kepada keagungan dan kebesaranNya. Merasakan jaminan perlindunganNya, kecukupan dari limpah kurniaNya. Mengalami sendiri perasaan mencintai dan merinduiNya. Hanya ini yang boleh benar-benar memenuhi kehausan Sang Jiwa.

Ini sebuah pengalaman 'rasa'. Bukan teori kata-kata yang disuapkan kepada fikiran lalu fikiran melakukan anggapan-anggapannya sendiri.

Banyak orang mencari Tuhan dengan fikirannya. Mereka sampai kepada ilmu-ilmu tinggi sehingga melampaui konsep ketuhanan, tembus ke wilayah hakikat-makrifat.

Bermain dengan istilah-istilah 'aku', 'AKU', 'Dia'. Satu dalam yang banyak, banyak dalam yang satu.

Hal-hal seperti ini kalau tidak dialami dengan 'rasa' akan cenderung membawa kepada kekeliruan dan kesesatan. Konsep itu terlalu tinggi. Ia bukan wilayah yang mampu diterokai oleh fikiran. Kapasiti fikiran tidak sampai ke sana.

Ramai orang terperangkap di sini. Bermain dengan teori. Tergantung antara realiti dan ilusi.

Pada wilayah ini, ramai orang melihat semakin samar garis pemisah antara Tuhan dan Hamba. Segalanya terlihat satu tiada beza, sehingga aturan-aturan syariat juga semakin samar dan terkadang hilang tidak terlihat.

Wilayah hakikat-makrifat adalah wilayah sakral, wilayah suci yang hanya dapat kita akses dengan rahmatNya.

Apa yang guru-guru ceritakan biasanya adalah pengalaman rasa yang mereka alami. Kita yang menerima informasi itu hanya mendapat gambaran, dan gambaran itulah yang kita gunakan sebagai modal kita untuk bercerita dan berkisah kepada orang lain bahawa kita juga telah mengalaminya. Maka selamanya kita hidup di antara fantasi dan realiti.

'Kehilangan' Tuhan itu menyengsarakan. Bagaimanapun pengalaman rohani yang dialami oleh seseorang, sempadan Tuhan dan Hamba harus kembali jelas dan teguh.

Ketika lidah kembali merasa sedabpnya rasa makanan, kulit kembali merasa nikmat sentuhan, dan semua deria kembali berfungsi normal, kita tunduk, sujud, dan bergantung harap kepada Allah yang Maha Kuasa dan Maha Agung.

Jika tidak, kita akan tergantung di wilayah antara ilusi dan fantasi. Dan hidup di wilayah itu tidak nyaman, dan tidak membahagiakan.

Terhijab dari Allah kerana gelapnya dosa-dosa, sama deritanya terhijab dari Allah kerana terangnya cahaya ilmu. Derita yang sama, hanya puncanya yang berbeza.

Sebetulnya, kita hanya perlu fokus kepada mengingatiNya, melalui segala macam ibadah wajib atau sunat. Terus menerus berusaha menggapai cinta dan riduNya.

Kerana apabila panas api cintaNya membakar sang jiwa, sehingga tidak tertahan lagi rasanya, yang membuat badan bergoncang, air mata tumpah mengalir... Selepas itu, kedamaian akan menyelimuti Sang Jiwa. Informasi-informasi tinggi akan dialiri olehNya ke hati kita.

Ilmu level tinggi itu adalah anugerah. Ia tidak dapat kita usahakan.
Kita hanya boleh mengusahakan rasa cinta dan rindu kepadaNya, melalui ketaatan mengingatiNya siang dan malam, berdiri, duduk atau berbaring.

Kemudian, barulah anugerahNya yang berupa pengalaman rasa akan hadir mengaliri Sang Jiwa.

Api cintaNya yang membara, membakar segala kotoran jiwa, membuka segala hijab, dan menghadirkan pencerahan-demi pencerahan sebagai anugerah kasih sayangNya.

Wilayah 'fana' yang diceritakan para guru itu tidak boleh diteroka dengan fikiran. Kerana itu adalah wilayah anugerah, selepas Sang Jiwa terbakar oleh api cintaNya.

Itu wilayah di mana segala deria tidak berfungsi, dan sempadan perbezaan tidak lagi terlihat. Namun the moment, deria rasa kembali berfungsi, kita harus cepat sedar bahawa kita hanya secebis hamba yang hina dina di hadapan Tuhan Yang Maha Agung dan Maha Tinggi.

Segala ilmu itu milikNya. Tak usah dikejar.
Kejarlah cinta dan rinduNya tanpa bosan dan tanpa penat.
Ketika cintamu mendapat sambutanNya, maka segala ilmu dan anugerahNya akan mengalir melimpahimu.

Rasa damai, sejahtera, bahagia dan puas hati itu adalah apabila kita merasa dengan sedalam keyakinan bahawa,

Dialah Yang Maha Kuasa, hanya Dia yang memberi mudharat da manfaat, bukan mana-mana makhlukNya.

Dialah Yang Maha Agung, hanya pada keagunganNya hati kita perlu tunduk, takut dan gerun.

Dialah Yang Maha Kaya, hanya kepada kekayaanNya kita bergantung untuk dicukupi segala keperluan dan keinginan.

Dialah Yang Maha Menyembuhkan, semua penyakit dan penyembuhan datang dari Dia. Kalau ada apapa atau sesiapa yang datang memberikan kita kesembuhan, maka itu adalah medium dariNya.....


Sehingga akhirnya kita berikrar,

Hasbunallah wani'mal wakeel, nikmal maula wani'mannaseer.

"Cukuplah Allah bagi kami, sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong kami".

InsyaAllah... Alhamdulillah... Barokallah.


Salam cinta dari lubuk hati paling dalam 😊🙏






Tuesday 16 May 2023

PENALTI KEEGOAN

 PERANGKAP KEAKUAN DALAM PEMBINAAN DIRI







Ilmu pembinaan diri memang suatu ilmu yang wajib dipelajari sesiapapun jika ingin sukses mencapai suatu kejayaan besar di dalam hidupnya.

Ilmu pemberdayaan diri menagajar dan melatih kita untuk mengoptimumkan semua potensi yang kita miliki, dan membuang semua sifat yang tidak memberdayakan.

Kita akan jadi orang yang berdisiplin, sihat, kuat fizikal dan mental, fokus, berani, yakin, konsisten, optimis, penyabar, tepat masa, punya visi dan misi, dan lain-lain lagi karakter yang diperlukan untuk sukses di dalam apa juga usaha.

Ilmu pemberdayaan diri membuat seseorang melihat bahawa dirinya adalah faktor utama untuk dia mencapai kejayaan atau kegagalan. Dia menjadi orang yang bertanggungjawab, tidak lagi menyalahkan sesiapa pihak jika dia gagal.

Orang yang belajar ilmu pemberdayaan diri, memang akan berjaya mencapai kejayaan yang dia inginkan, samada cepat atau lambat. Ada juga yang gagal, atau istilahnya terlalu lambat, namun insyaAllah dia di landasan yang betul.

Sebab manusia kalau dia sudah melihat bahawa dirinyalah faktor penentu untuk dia sukses atau gagal, bukan pihak lain, maka pasti lambat laun dia akan berjaya juga.

Di sisi Allah, dunia ini hanya gurau senda, tiada nilai apapa. All material things hanyalah energi yang formed dan deformed.

Kebendaan itu tertakhluk kepada hukum dan ketentuan,

1. Kalau kita kejar Allah, ertinya fokus mencapai cinta dan redhaNya, maka dunia kejar kita.

Atau,

2. Siapa yang fokus dan konsisten berusaha penuh dedikasi untuk mencapai suatu kejayaan duniawi, maka dia pasti akan dapat.

*Ada terms & condition applied pada kedua-dua aturan di atas.

Oleh kerana murahnya nilai dunia di sisi Allah, maka IMAN tidak menjadi syarat untuk seseorang memiliki limpahan kebendaan.

Samada dia beriman atau tidak, kalau dia follow aturan yang mengatur dunia kebendaan, dia akan memperolehi kejayaan duniawi.

Dia pendosa atau dia taat ibadah, jika dia follow aturan yang mengatur dunia kebendaan, dia akan memperolehi kejayaan.

Jika dunia itu mahal nilainya di sisi Allah, maka pastilah hanya orang-orang beriman dan taat beribadah yang akan dilimpahi kekayaan material.

Namun kenyataannya tidak begitu.

Yang mahal itu adalah Cinta dan RedhaNya. Kerana tanpa iman, ia takkan tercapai.

Kenapa cinta dan redhaNya mahal?

Kerana cinta dan redhaNya penentu kebahagiaan dan keharmoniaan seseorang di dunia dan akhirat.

Kerana cinta dan redhaNya akan membuat seseorang menjadi penguasa kebendaan, bukan dikuasai dan diperbudakkan oleh kebendaan.

Kekayaan material tanpa Iman, risikonya kita akan diperhambakan dan diperbudakkan oleh material. Maka sangat ramai orang-orang kaya namun hidupnya tidak bahagia, semakin tersesat di dalam kenikmatan duniawi, menzalimi dirinya sendiri, orang lain dan alam sekitar.

Berbalik kepada ilmu pemberdayaan diri....

Benar bahawa ia membawa kita kepada satu tahap kejayaan.

Namun untuk naik ke tahap seterusnya yang lebih tinggi,  kebolehan dan kehebatan diri harus dikembalikan kepada Allah.

Kemampuan kita melakukan Law of Attraction, menzahirkan segala keinginan dengan mengikuti Law of Nature yang ada, kembalikan kepada Allah.

Kekuatan leadership kita, kembalikan kepada Allah. Kehebatan sales marketing kita, kembalikan kepada Allah. Kepintaran dan kelihaian kita dalam mendapatkan, mengolah dan mengembangkan sumber-sumber alam untuk menghasilkan pundi-pundi kekayaan, kembalikan kepada Allah.

Semuanya kembalikan kepada Allah... Laailahaillallah... Laahaulawalaquwwataillabillah. Kembalikan, sehingga kita tidak punya apapa lagi. Tiada ilmu, tiada daya, tiada kekuatan, tiada kekayaan, tiada networking, tiada kabel, tiada apapa, semua milikNya.

Hasbunallah wanikmal wakiil, nikmal maula wanikmannasir.







Dengan begitu, kita tidak menyuburkan ego yang merasa dialah yang tahu, mampu, kuat dan kaya.

Pada level melepaskan dan mengembalikan ini, ramai yang gagal. Terus menerus berada di zon keegoan ada penalti yang mahal bayarannya.

Sejarah memberikan pelajaran, betapa banyakkan orang-orang pintar, para penguasa dan para hartawan yang Allah sungkurkan kerana sudah keterlaluan egonya, tidak mahu melepaskan dan memulangkan kepemilikan kepada Allah.

Allah akan hadirkan situasi-situasi dan orang-orang tertentu yang akan membuat ego kita tercabar, tewas, musnah dan ranap... Sehingga akhirnya kita tiada pilihan selain kembali kepadaNya, mengakui kebijaksanaan dan kekuasaannya yang mutlak dan tunggal.

Oleh itu, semua sahabat pembaca yang budiman, pelajarilah ilmu pemberdayaan diri sebaik mungkin, dan sedari apapun kepandaian, kemahiran, dan sumber daya yang kita ada, semua milikNya belaka yang wajib kita insafi dan syukuri selalu.

Orang yang menginsafi diri dan menyukuri segala kurnia Allah, akan selalu rendah hati, tidak akan sombong dan bongkak.

Salam cinta dari dasar hati paling dalam😊🙏

_______

Transform diri dan hidupmu dengan memahami dan menguasai  Force dan Power:

https://tinyurl.com/loncatanenergy

****

Jika anda perlukan bimbingan dan pencerahan melalui 1 jam Personal Life Consultation dengan saya, klik di sini:


https://tinyurl.com/personallifeconsultation





Sunday 14 May 2023

KONSEP SEBENAR - SEMAKIN BANYAK KAU MEMBERI, SEMAKIN BANYAK KAU AKAN TERIMA

 Semakin banya kau berikan, semakin banyak kau akan terima.



Duluuuu.... Apabila guru-guru bagitahu bahawa semakin banyak kita memberi, semakin banyak kita akan terima, aku memahaminya secara sempit.

Aku fikir, ia hanya pemberian kepada orang lain. Macam konsep sedekah, 1 kita bagi 10 kita dapat pulangan. Atau sehingga 700 kali ganda pulangannya.






Makin ke sini, makin aku sedari bahawa ternyata konsep memberi agar menerima lebih banyak itu lebih luas lagi cakupannya. Tidak sesempit pemahaman ku yang dulu.

Untuk mendapat banyak rezeki, bukan sekadar memberi sedekah rm 100 atau rm 1000 sehari untuk dapat rezeki berganda. Ini satu kefahaman yang sempit. Aku pernah mengamalkannya dan aku kecewa kerana tidak dapat pulangan seperti yang aku harapkan.

Ternyata, memberi dalam konteks yang lebh luas itu adalah:

Berikan masamu, berikan perhatianmu, berikan tenagamu, berikan ideamu, berikan bakatmu, berikan semangatmu, berikan kemahiranmu, dan berikan apa sahaja daripada dirimu kepada orang lain, atau kepada kerja, bisnes atau projek yang kau jalankan.

Ini yang orang kata DEDIKASI.
Dedikasikan dirimu untuk menyumbangkan kebaikan kepada orang lain, kepada masyarakat, kepada agama kepada dunia, dan kepada alam.

Ada waktu aku hanya duduk di rumah, tafakkur dan meditasi, menyalurkan energi penyembuhan dan cinta kasih kepada semua makhluk Allah.

Aku berikan Intention dan Attention agar semua makhluk Allah sembuh dari apa juga penyakit, damai semua sengketa, erat semua hubungan, subur semua tenaman, bahagia semua hati dan kebaikan-kebaikan lainnya.

Memang kita tidak mungkin dapat menjadikan dunia ini 100% sempurna di dalam kebaikan, namun Intention dan Attention yang kita dedikasikan sebagai sebuah PEMBERIAN tulus kepada semua makhluk, pasti akan dibalas oleh Allah dalam bentuk kebaikan-kebaikan yang misteri dan kadang tidak disangka-sangka.

Kalau kita sedang buntu tiada idea apa mahu buat, memberilah walau hanya sekadar sebuah doa kepada kucing di jalanan, atau anjing liar di tepi longkang. Itu adalah sebuah pemberian daripada diri kita, berbentuk energi murni. Pasti akan ada imbalannya dari Allah.

Kalau kita ingin sukses di dalam hidup, mahu hidup makmur dan kaya raya, berikanlah lebih banyak masa, tenaga, perhatian, ilmu, kemahiran, dan semangat di dalam kerja dan usaha yang kita lakukan. Apa yang kita berikan itu akan diberikan pulangan yang berganda.

Orang yang malas, yang tidak mahu memberikan masanya, tenaganya, perhatiannya, dan apa sahaja bentuk modal daripada dirinya, dia pun tidak akan dapat apapa pulangan dari kehidupan ini.

Kalau kita asyik baring 12 jam sehari di rumah tengok drama Korea, kita berikan apa kepada kehidupan ini? Atau kita bermain game 20 jam, apa yang kita sumbangkan kepada kehidupan? Tiada! Maka kita pun tidak akan dapat apapa.

Tapi... Aku juga perhatikan perubahan terkini yang sedang terjadi di dunia.

Ada orang yang kerjanya cuma tidur, tapi rezekinya tetap lancar mengalir. Bahkan ada yang 'tidak buat apapa', dan dapat rezeki besar.

Wait a minute!

Apa sudah jadi? Hukum semesta sudah berubah kah?

Tidak... Orang yang tidur tadi dapat rezeki kerana dia jadikan tidurnya sebagai konten untuk tontonan orang lain.

Wang Yiming dari Taiwan buat live 5 jam di aplikasi Twitch sambil tidur. Dia keluarkan modal data internet, tenaga untuk set up live dia, dan memberikan suatu konten kepada para penonton dia. Dia menyumbangkan sesuatu. Dia dapat 3000 USD, hadiah dari para penontonnya.

Muhammad Didit dari Indonesia buat video ' 2 Jam Nggak Ngapa-ngapain' di Youtube', dapat lebih 5 juta tontonan, dengan pendapatan 3 - 20k USD.





Ini hanya contoh sahaja. Nak bagitahu bahawa pada zaman ini, zaman 'content creator', ada cara yang lebih kreatif untuk kita MEMBERI kepada dunia, untuk dapat pulangan yang lumayan.

Intinya adalah, MEMBERI!

Semakin banyak kita memberi, semakin banyak kita akan terima!


Salam cinta kasih dari lubuk hati yang terdalam 😊🙏

__________________

Transform diri dan hidupmu dengan memahami dan menguasai  Force dan Power:

https://tinyurl.com/loncatanenergy

****

Jika anda perlukan bimbingan dan pencerahan melalui 1 jam Personal Life Consultation dengan saya, klik di sini:


https://tinyurl.com/personallifeconsultation










Wednesday 10 May 2023

KONDISI HIDUP YANG EKSTRIM DERITANYA, PERLUKAN SOLUSI YANG EKSTRIM MENJALANINYA

 Kondisi hidup yang ekstrim, perlukan solusi yang ekstrim





Sebagai seorang konsultan kehidupan, aku menerima banyak chat setiap hari yang bertanya solusi-solusi untuk masalah kehidupan mereka.

Kemarin aku berikan bimbingan kepada seorang klien untuk memahami masalah yang dia alami, berkenaan kesihatan. Ada tanda-tanda anxiety awal.

Ada pula klien yang sukar merasakan feel good di hatinya. Makin suka melambat-lambatkan kerja dan ibadah solatnya. Rasa bersalah dan berdosa tu ada, namun tetap juga tak membantu untuk dia buat tindakan yang cepat dan tepat.

Aku bantu untuk bagi faham duduk masalahnya. Lalu aku berikan solusi-solusi dan plan tindakan yang boleh diambil ke arah mencapai matlamatnya.

Masalah-masalah kehidupan berkaitan secara langsung dengan kondisi hati kita. Ini sentiasa aku ulang, dan akan terus aku ulang kerana ini kebenarannya.

Kalaupun orang tidak percaya, no problem. I am agree to disagree. Paling penting aku mengalaminya berkali-kali, dan aku membantu klien banyak kali untuk selesaikan masalah-masalah mereka melalui pendekatan ini.

Ubah suasana hatimu! Kataku kepada mereka. Apabila suasana hati kita berubah, daripada takut kepada berani, ragu kepada yakin, pesimis menjadi optimis, kufur kepada syukur... Maka kondisi hidup pun akan perlahan-lahan ikut berubah.

Peristiwa-peristiwa kehidupan mengajar kita, bahawa tekanan hidup yang begitu berat dan keras boleh menjadi titik perubahan bersejarah, kerana melalui tekanan beratlah kondisi hati seseorang boleh berubah 180 darjah, lalu perubahan suasana hati itu membawa transformasi besar kepada diri dan kehidupan orang yang berkaitan.

Jiwa yang mengalami tekanan akan memberontak kerana zon selesanya sedang tergugat. Tekanan itu membuat sang jiwa bergerak mencari jawapan dan kekuatan.

Ada jiwa-jiwa yang kuat, berjaya memperolehi jawapan dan kekuatan, lalu mengalami transformasi diri dan kehidupan yang luar biasa.

Namun ada jiwa yang lemah, mencari pelarian ke perkara-perkara yang rendah. Lari ke clubbing, alkohol, dadah, judi, seks rambang dan lain-lain yang mengarah kepada kemerosotan dan kehancuran.

Sang jiwa yang sedang merasakan tekanan, hanya akan kuat jika pencariannya menghala kepada ketuhanan, kerana kekuatan, ilmu dan sumber daya, semua ada pada Tuhan.

Ada juga jiwa-jiwa yang mencari jawapan dan kekuatan pada benda-benda mistik seperti barang-barang berenergi, bomoh, dukun, pawang dan lain-lain lagi. Its ok... Ini sama keadaannya dengan mencari kekuatan dan jawapan pada alat, mesin, ubat, herba, bahan kimia dan sekelasnya. Bezanya, satu golongan mencari jawapan di level quantum, satu golongan lagi mencari jawapan di level fizikal.

Mudah-mudahan, pencarian pada kategori ini akan menghantar terus kepada pencarian jawapan dan kekuatan kepada Allah. Akan sampai moment nya. Someday.

Kotoran hati berupa penyakit-penyakit hati seperti, sombong, angkuh, merasa benar, takut, tamak, marah, dengki, kecewa, berkeluh kesah, lupa nikmat atau kufur, putus asa, jahil... Ini semua adalah perasaan negatif yang memberi kesan buruk kepada cara kita berfikir, membuat keputusan, bertindak, melayan orang... yang mana akan mencorakkan suasana hidup kita dalam semua level iaitu fizikal, mental, spiritual, finansial, sosial dan enviromental.

Jika bicara dari sudut energi, semua perasaan negatif tadi hanya akan menarik frekuensi yang sama dan serupa, sehingga hidup kita pun penuh dengan perkara dan pengalaman negatif.

Keadaan yang paling aku takuti adalah, aku merasa benar padahal aku salah. Aku hanya tahu aku salah, setelah keputusan yang aku buat berdasarkan kefahamanku yang salah tadi menghasilkan kondisi kehidupan yang salah dan berat menekan.

Namun, sisi baiknya adalah, kesilapan adalah guru kehidupan yang terbaik.

Namun berulangkali salah dan mengalami penderitaan, itu tidak bagus. Maka paling terbaik adalah, kita minta dengan tulus setiap hari perlindungan Allah daripada kebodohan kita sendiri.

"Ya Allah... Aku berlindung dengan rahmatMu daripada kebodohan dan kejahilanku. Bimbinglah aku dengan ilmu dan kebenaranMu".

Hati yang telah sarat dengan perasaan-perasaan negatif menjadi magnet yang sangat kuat menghasilkan keadaan hidup yang buruk.

Cuba tengok orang-orang yang lidahnya sangat menyakitkan apabila berkata-kata. Cacian, makian, sumpahan, keluhan, komplen, pesimistik, narsistik... Kata-kata yang paling banyak keluar dari mulutnya adalah negatif belaka.

Sifat seperti ini mencipta banyak musuh dan kebencian. Menjauhkan banyak orang dalam perhubungan. Endingnya dia komplen orang tak suka dan pulaukan dia. Dia tidak salah apapa. Inilah kesesatan yang menakutkan, kerana di sini dia tidak sedar bahawa dia salah.

Oleh kerana perasaannya penuh negatif, apapun usahanya tiada yang menjadi sebab apa yang dia kerjakan adalah berasaskan pada ilusi serta tiada sokongan daripada sesiapa. Kemudian dia asyik salahkan orang lain, keadaan, dan Tuhan.

Hidup seperti ini adalah hidup yang penuh derita bersulam sengsara.

Begitu banyak peristiwa hidup yang mengajar dan menunjukkan aku kaitan suasana hati dan suasana kehidupan. Samada pengalamanku sendiri atau pengalaman orang lain yang aku perhatikan, buat rumusan dan ambil pengajaran.

Sangat terbukti bahawa, kondisi hidup adalah pancaran dari kondisi hati.

Hidup yang sempit dan miskin adalah efek daripada hati yang merasakan bahawa begitu susah mahu cari duit. Bahawa dunia ini tidak adil, yang kaya makin kaya dan yang miskin makin miskin. Bahawa kekayaan adalah sumber dosa.

Hati penuh ragu, takut, kecewa, dan putus asa, dan tertutup untuk melihat dan memahami konsep rezeki Allah Yang Maha Berlimpah dan Maha Pemurah.

Kondisi hidup yang ekstrim menderita, adalah kesan daripada kondisi hati yang ekstrim juga negatifnya.

Samada ekstrim sombong dan angkuhnya.
Atau ekstrim tamak halobanya.
Atau ekstrim ketakutannya.
Atau ekstrim keraguannya.
Atau ekstrim kecewa, sedih dan putus asanya.

Ini menghasilkan kondisi hidup yang juga ekstrim deritanya.

Memahami konsep ini membawa kita kepada satu rumus kehidupan yang begitu jelas... Dengan membersihkan dan memperbaiki suasana hati yang ekstrim negatifnya, maka kita boleh memberbaiki kondisi hidup yang ekstrim deritanya.

Dengan kaedah apa?

Allah menjawab dengan sangat jelas,

الَّذِينَ آمَنُوا وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُمْ بِذِكْرِ اللَّهِ أَلا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ

“Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan berzikir (mengingat) Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingat Allah hati menjadi tenteram” (Qs. ar-Ra’du: 28).

Jawapannya ada pada Zikrullah!

Zikrullah, dengan objektif yang betul, tatacara yang betul, konsisten dan ikhlas... Maka hati akan tergilap bersih, dan menghasilkan keberkatan di dalam semua aspek hidup.

Semua perasaan negatif, yang merupakan akar kepada kondisi hidup yang negatif di luar diri kita, jadi bersih. Maka kehidupan kita pun jadi bersih dari segala derita sengsara.

Makin lama kita hidup dalam negativiti dan hidup yang penuh darita, ertinya telah sangat tebal kotoran yang menyelimuti hati kita.

Bermakna, perlu masa lebih lama, dan usaha lebih gigih dan tekun untuk membersihkan sang hati, dan mengubah kondisi hidup menjadi lebih baik dan lebih positif.

1. Tujuannya kena jelas, mahu membersihkan hati, untuk menggapi cinta, rindu dan redhaNya.

2. Tatacaranya kena betul. Penuh kerendahan hati dan ketakziman dalam mengingatiNya.

3. Konsisten. Jangan putus asa walaupun hasilnya lambat atau sangat lambat.

4. Ikhlas, ingat tujuan nombor 1 selalu.

Transform your Heart, transform your Life!

Salam cinta dari lubuk hati terdalam 😊🙏


_____ *** _____


Pelajari cara mengheningkan dan mendamaikan hati di sini: https://rb.gy/osz0m



Jika anda perlukan bimbingan dan pencerahan melalui 1 jam Personal Life Consultation dengan saya, klik di sini:


https://rb.gy/5bxfm







Sunday 7 May 2023

SYUKUR, HIDUP INI INDAH DAN BERLIMPAH


Aku melihat bahawa manusia ada dua level dalam menjalani kehidupannya.

Level pertama, mereka kerja keras untuk mendapatkan rezeki dan apapa yang diinginkannya.

Mereka mengorbankan banyak kesenangan diri mahupun keluarganya dan fokus bekerja untuk mencapai impian-impiannya.

Ramai yang berjaya, tak kurang juga yang gagal.

Pada level ini kita hidup berpandukan kekuatan badan dan kepintaran berfikir.

Kita bertindak atas keyakinan bahawa, semakin besar usaha, semakin besar hasilnya.

Pada level ini, kita kena bergerak ke arah impian kita. Push to the limit seluruh potensi diri dan sumber-sumber yang ada menuju cita-cita yang ingin kita capai.

Dalam proses itu kita menemui bermacam rintangan. Kalau kita berjaya mengharunginya, maka kita akan memiliki apa yang kita kejar.

Pada level ini, kita perlukan keberanian, keyakinan, optimistik dan lain-lain karakter yang mampu menolak kita terus bergerak ke hadapan.

Tanpa sifat-sifat di atas tadi, adalah mustahil untuk kita bergerak maju. Kita pasti akan mengalami kesukaran, terhenti lalu gagal.

Majoriti manusia memainkan sketsa kehidupan di gelanggang ini.

Aku melihat bahawa ada satu golongan manusia minoriti, yang bermain di gelanggang kehidupan yang istimewa.

Mereka tidak bergerak ke arah impan dan cita-cita mereka. Tidak push diri untuk mengejar apa yang mereka inginkan.

Namun, impian dan cita-cita mereka yang tertarik datang. Kuatnya energi yang mereka miliki, sehingga nikmat rezeki dan anugerah yang datang serah diri dengan sukarela.

Apa daya yang mereka gunakan?

Mereka-mereka ini kesibukannya adalah mengurus dan memperbaiki hatinya.

Setiap hari mereka berusaha semakin menguatkan rasa cinta dan rindu kepada Allah, memperbaiki rasa ketundukkan kepadaNya dan memperbanyakkan rasa syukur terhadap nikmat-nikmatNya.

Mereka lebih fokus bersyukur terhadap apa yang telah mereka miliki, berbanding fokus mengejar apa yang mereka belum miliki.

Aku melihat pada diri mereka kenyataan firman Allah,

"Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu..." - Petikan dari Surah Ibrahim ayat 7.





Adakah golongan mereka ini juga bekerja dan berbisnes?

Yaa... Mereka bekerja dan berbisnes sama seperti orang lain.

Bezanya adalah, orang lain bekerja dan berbisnes dengan tujuan 'memperolehi' imbalan gaji atau penghasilan daripada pihak lain.

Mereka ini pula bekerja dan berbisnes untuk 'memberikan' manfaat terbaik yang mereka mampu berikan kepada pihak lain.

Mereka memang berada di level yang berbeza.

Ini adalah beza vibrasi energi.

Kalau kita berada di vibrasi energi rendah, maka kita melihat kehidupan ini suatu perlumbaan untuk merebut sumber-sumber yang ada.

Kita akan saling berebut, saling senggol, memijak dan menjatuhkan demi memenuhi keperluan dan keinginan kita.

Kita akan push diri kita beyond limit, kerana kita nak capai lebih daripada orang lain.

Ini cara biasa untuk hidup dan mencapai kejayaan dan kekayaan. Majoriti orang mempraktikkan mazhab ini.

Sedangkan pada level vibrasi yang lebih tinggi, di mana mata hati kita terbuka kerana zikrullah yang diamalkan, kita akan menyedari bahawa sumber yang Allah sediakan di alam semesta ini adalah tidak terbatas.

Kita tidak perlu bersaing, saling senggol menyenggol, pijak memijak dan menjatuhkan untuk merebut sumber-sumber yang ada.

Apa yang perlu kita lakukan adalah, dekatkan hati kepada Allah Yang Maha Menguasai segalanya. Semua ini milikNya. Dia yang mencipta kita dan menjamin rezeki kita.

Maha Kayanya Dia, tidak pernah berkurang sumber alam ini sampai kiamat.

Itu hakikatnya. Namun kita adalah masalah iman. Hati kita tidak yakin. Nurani kita tertutup oleh kegelapan penyakit hati. Lalu kita salah faham, dan kita menjalani sistem hidup yang salah.

Kita pun hidup dalam ketakutan, keraguan, kesedihan dan kekecewaan.

Apa yang perlu kita lakukan adalah, zikrullah dan bersihkan hati agar kita mampu menyedari dan melihat limpahan kekayaanNya dan jaminan kecukupuan dariNya.

Kita fokus bersyukur, menghitung semua nikmatnya yang telah, sedang dan akan kita perolehi. Berterima kasih kepadaNya atas segalanya.

Tanpa rasa syukur, kita akan selalu rasa kekurangan. Kita akan mengeluh, komplen dan marah-marah. Ini tanda kita kufur, tidak bersyukur. Kita fokus melihat kekurangan belaka.

Orang-orang yang bersyukur akan sentiasa menyedari kelimpahan di mana-mana. Sentiasa merasa cukup bahkan berlimpah. Lalu kenyataan hidup pun selaras dengan kesedaran dan keyakinannya, iaitu cukup dan berlimpah.

Sistem kehidupan telah mengheret kita kepada kesedaran yang rendah. Keadaan melatiah kita melihat kekurangan, dan kita perlu berebut untuk memiliki sumber yang kurang tersebut.

Kekurangan adalah ilusi. Keberlimpahan itu yang hakiki. Namun Allah berikan kita selaras dengan kesedaran dan keyakina kita.

Kasihannya kita dan ramai manusia, kerana harus bergaduh, bermusuhan bahkan berbunuhan untuk merebut sumber yang kita sangka terbatas, padahal hakikatnya berlimpah.

Kita hidup setiap hari, mengorbankan diri dan masa indah bersama keluarga tercinta, demi berusaha dan bekerja mengejar sumber kehidupan.

Ini boleh diubah. Upgrade diri kita. Upgrade ilmu, kesedaran dan iman kita.

Bersihkan kerak hati dengan zikrullah, agar kita boleh memilah antara ilusi kesempitan dan kebenaran keberlimpahan.

Penuhi hati kita dengan syukur. Tiada lagi rasa sempit dan kekurangan, namun rasa lapang dan berlimpah. Tiada lagi ketakutan dan keraguan, tapi keyakinan bahawa Allah Maha Kaya dan Maha Mengkayakan.

InsyaAllah, itu cara hidup yang indah.

Alhamdulillah.

Salam cinta dan damai 😊













BAHAGIA DAN BERLIMPAH

BAHAGIA DAN BERLIMPAH Kondisi hidup mengikuti kondisi hati. Di sini, hati mewakili emosi dan perasaan. Perasaan itu sifatnya magnetik. Ia ...