Your Magic Blog: November 2011

Wednesday 30 November 2011

Mengatasi Masalah Dengan Iman

Salam alaikum :)

Masalah adalah satu perkataan yang sangat akrab dengan kita. Setiap manusia pasti ada masalah. Tidak mengira usia, jantina, status, dan apa saja kelompok pasti memiliki masalah. Saya yakin anda yang sedang membaca ini pun sedang ada masalah atau masalah-masalah yang tersendiri.

Sejak kecil kita diajar menyelesaikan masalah dengan cara memfokuskan fikiran memikirkan masalah tersebut sehingga kita menemui jalan keluar. Kita di ajar mengenalpasti dan menganalisa masalah dan kemudian baru boleh mengenal pasti tindakan-tindakan ke arah menyelesaikan masalah itu. Inilah kebiasaan kita dan semua menganggapnya logik.

Apa yang saya akan sampaikan pada tulisan kali ini adalah sangat bertentangan dengan kefahaman kita selama ini. Jika anda tidak faham konsepnya, anda boleh kata ia mengarut. Jika anda memahami rahsianya, anda boleh mengatakan ia satu cara penyelesaian masalah tahap tinggi atau tahap pamungkas.

Islam mengajarkan tentang iman. Apa itu iman? Iman bukan percaya tetapi yakin. Yakin adalah percaya yang lebih dalam iaitu dengan sepenuh hati. Kalau setakat percaya belum sampai. Ia masih difikiran, bukan di hati. Ajaran islam membawa doktrin ketuhanan Yang Maha Esa. Kita wajib yakin bahawa Allah tuhan seluruh alam ini, yang maha kuasa, yang maha kaya, maha bijaksana, maha segala dengan seluruh kesempurnaanNya. Jika difikirkan dengan fikiran logik, memang sangat sukar untuk memahami tuhan kerana tuhan itu diluar liputan kawasan yang mampu dijangkau oleh pemikiran kira. Sebab itu ada konsep iman. Yakin saja dulu, walaupun tidak faham. Sebab ilmu dan kefahaman akan datang pada kita setelah kita yakin. Inilah perbezaan utama antara kita dengan leluhur kita. Sebab ini jugalah kekuatan rohani kita sekarang ini sangat rendah, iaitu kurangnya keyakinan.

Mengatasi masalah dengan iman. Ini agak sukar kita fahami. Jika saya kata, ' Mengatasi masalah dengan berfikir', saya yakin semua pembaca akan faham dengan mudahnya. Keyakinan di dasar hati kita selama ini adalah, kita harus berfikir jika ada masalah. Perhatikanlah diri anda atau sesiapa di dekat anda, jika ada masalah pasti lebih banyak diam. Kenapa? Kerana sedang memikirkan masalahnya lah hehe

Sekarang kita mahu menyelesaikan masalah dengan IMAN. Kita tengok dulu dalil dari kitab suci untuk dijadikan pedoman.

“Wahai orang-orang yang beriman. Mohonlah pertolongan (kpd Allah) dengan sabar dan (mengerjakan) solat. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar”(al-baqarah:153)

Ini firman Allah. Kita kafir jika tidak percaya. Dengan jelas kita kita DIPERINTAHKAN MEMOHON PERTOLONGAN dengan SABAR dan MENGERJAKAN SOLAT. Kita tidak diperintahkan untuk memikirkan masalah-masalah kita, tidak diperintahkan untuk berjumpa dukun, tidak diperintahkan untuk apapun juga selain SABAR dan SOLAT...Kita semua pasti mengakui, bahawa Allah Maha Tahu segalanya. Dia tahu apa yang terbaik yang harus kita lakukan demi kebaikan kita sendiri. Sayangnya kita selalu bertindak memandai-mandai dengan ilmu kita yang kita rasakan tinggi ini. Kita lebih suka bertindak mengikut apa yang kita fikirkan terbaik, bukan apa yang Allah perintahkan yang didasari oleh KebijaksananNya yang maha tinggi.

Kemudian ada lagi perintah ini :

Dan perintahkanlah kepada keluargamu mendirikan solat dan bersabarlah kamu dalam mengerjakannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan akibat (yang baik) itu adalah bagi orang yang bertakwa ( Taha : 132 )

Sekali lagi kita diperintahkan mendirikan solat dan sabar mengerjakannya. Kita tidak disuruh berbuat apapa selain itu. Kita tidak disuruh bertindak apapa selain itu. Ini pasti masih sangat sukar untuk kita terima dengan pemikiran kita kerana ini adalah bahasa iman. Saya coretkan sedikit metafora ringkas untuk menuntun kefahaman kita.

Pada satu ketika, ayah anda berkata kepada anda, " Nak, bapak mahu kamu belajar sungguh-sungguh dan sabar menjalani proses pembelajaran kamu sampai tahap phd. Kamu nda payah fikir pasal duit mau bayar yuran, duit belanja, kenderaan ke sekolah, makan pakai semua bapak tanggung. Bapak orang kaya dan berkuasa, ini negeri sabah bapak yang pegang. Kamu jangan susah nak, ikut jak apa bapak suruh, yang lain semua bapak tanggung beres ".

Lebih kurang begitulah. Ini hanya metafora, takkan dapat menyamai maksud sesungguhnya berkaitan Allah. Allah maha tahu, Dia sangat tahu apa yang terbaik untuk kita. Dia maha kuasa untuk mengawal semua kepentingan kita. Dia maha kaya untuk mencukupi semua keperluan kita. Bukankah kita sangat beruntung bertuhankan Allah Yang Maha Hebat ini? Kita sering merasa beruntung memilik ibu bapa yang hebat, kita sering bangga memiliki big bos yang hebat di syarikat-syarikat atau institusi yang gah, namun kenapa kita tidak merasa begitu berbangga bertuhankan Tuhan Yang Maha Hebat yang menguasai seantero alam semesta? Petanyaan demi pertanyaan ini akan mambawa kita merenung lagi kepada masalah iman.

Sikap orang beriman adalah 'sami'na wa'atho'na', iaitu 'kami dengar ( perintah tuhan ) dan kami ikut patuh '. Perintah sudah cukup, tinggal kita ikut patuh dengan ikhlas tanpa banyak soal dan banyak songeh. Dia yang memberikan persoalan, Dia juga yang akan memberikan jawapan atas semua persoalan-persoalan yang dilontarkan ke fikiran kita. 

Ringkasnya, jika kita dilanda masalah segeralah menghadap kepada Allah. Adukanlah masalah anda kepada Allah dan sabarlah mendekatkan diri kepadanya secara terus menerus. PertolonganNya pasti akan datang mengikut planNya sendiri. Anda akan dituntun dengan rahmatNya menuju penyelasaian tanpa susah payah. Fikiran anda, perasaan anda, tindakan anda, dan semua persekitaran anda akan diatur olehNya agar selari dan harmoni dengan hajat-hajat anda. 

Jauhnya kita terdampar,
Kerana berpandu pada ilmu kita yang selembar,
Hati ini sudah layu menahan dahaga dan lapar,
Ke sana sini asyik terlontar,
Mendekatlah pada Dia yang Akbar,
RahmatNya yang melimpah terus dikejar,
Bermujahadah di jalan ilahi penuh sabar,
Hasilnya pasti tersenyum lebar.

Semoga bermanfaat untuk kita semua.

Salam kasih dan sayang :)





Thursday 24 November 2011

Nilai Spiritual Sebuah Tangisan

Salam :)

Kita manusia dan tangisan tidak dapat dipisahkan. Sekeras manapun hati kita pasti ada waktunya menangis juga. Kita lihat sejenak nilai spiritual yang ada disebalik sebuah tangisan.

Ada yg menangis menghadap Allah kerana mengadu masalahnya yang sudah tidak sanggup lagi ditanggung. 
Ada yang menangis di depanNya pula kerana mengenangkan dosa-dosanya. 
Ada pula yang menangis menghadapNya kerana sesal masih kurang ibadahnya.
Dan ada pula yang menangis di hadapanNya kerana begitu cinta dan rindu padaNya.

Tangisan kita dihadapan Allah mencerminkan maqam rohani kita. Tangisan yang bukan keranaNya adalah masih berdasarkan ego kita. Menangis kerana masalah, itu adalah kerana kita tidak sabar dengan ujianNya dan tidak bersangka baik pada anugerahNya. Menangis kerana dosa, itu kerana kita merasa sengsara dengan masa lalu kita dan inginkan perasaan jadi orang suci. Menangis kerana kurang ibadah, itu adalah kerana kita ingin mengejar syurga atau apapa kelebihan rohani. Semuanya atas dasar 'kepentingan' kita, belum lagi ikhlas  keranaNya.

Mungkin ada yang bertanya. Kenapa semua harus kerana Allah? Adakah Allah perlukan kita? Kalau semua untuk Allah, lalu apa faedahnya untuk kita?

Mudah saja...Soalan di jawab dengan soalan... Jika anda seorang yang sangat dekat dengan sultan negara ini, anda sangat disayangi sultan kerana begitu dalam pengabdian anda, agak-agak apakah keistimewaan yang akan anda dapat?

Mudah-mudahan kita selalu dibimbing olehNya agar tidak lama lagi tangisan kita hanya keranaNya.

Salam kasih dan sayang :)


Monday 21 November 2011

Kita Hanya Kurang Bersyukur

Salam :)

Perasaan susah seringkali bertamu di hati kita, setiap hari. Malah tidak jarang berlaku di mana perasaan susah itu 'sangkut' di hati kita sehingga berhari, berminggu, berbulan bahkan bertahun lamanya.

Mengapa kita boleh ada perasaan susah??? Perasaan susah adalah produk yang terhasil dari fikiran negatif. Fikiran letaknya dikepala, perasaan letaknya di dada. Anggap saja begitu. Apabila fikiran di kepala kira memikirkan perkara-perkara negatif atau memikirkan masalah-masalah, secara automatik dan sangat cepat akan terhubung ke dada dan terhasillah perasaan-perasaan susah.

Lalu kenapa kita memikirkan perkara-perkara negatif, kenapa kita sukar memikirkan perkara-perkara positif??? Ini adalah fitrah pemikiran kita. Kita selalu cenderung untuk memikirkan masalah-masalah. Bukan hanya masalah kita, seringkali bahkan sangat sering kita juga pandai masuk campur memikirkan masalah-masalah orang lain yang langsung tiada kaitan dengan kita. Sebab itu kitapun sering terkena karma orang lain, lalu kita pun ikut susah hati.

Jika masalah yang kita fikirkan sudah selesai, kita akan rasa senang hati. Tapi percaya atau tidak, dalam tempoh sekejap saja, fikiran kita akan mula memikirkan masalah lain pula lalu hati kita akan merasa susah semula. Anda pasti selalu mengalaminya. Betul kan? Thats it. It is our very nature to find problems.

Jika kita mahu merenung dengan dalam, hidup ini sentiasa balance. Sentiasa ada masalah namun sentiasa juga ada nikmat. Kita selalu ada masalah, memang betul. Ini selalu fikiran kita ingat. Tetapi kita juga sentiasa ada nikmat yang sedang kita miliki atau kecapi, ini juga sangat betul. Namun fikiran kita selalu lupa. Kita selalu tidak adil. Kita selalu memikirkan masalah, dan sangat-sangat jarang memikirkan nikmat yang sedang kita miliki...Benarlah bahawa kita ini merasa susah hanya kerana kita kurang bersyukur.

Anda tiada wang? Itu masalah... Namun alhamdulillah, anda masih dapat menghirup udara segar untuk kekal hidup. Betapa ramainya manusia di hospital yang kaya raya namun sudah tidak dapat menarik nafas sendiri dan terpaksa menggunakan okeigen bantuan. 

Anda tiada kenderaan? Itu masalah... Namun syukur alhamdulilah, kaki anda masih sihat untuk membawa anda jalan-jalan ke mana-mana saja. Betapa ramainya manusia di sekeliling anda yang memiliki kenderaan darat, laut mahupun udara namun sudah tidak dapat lagi menggunakan kakinya untuk berjalan.

Anda belum dapat kerja? Itu masalah... Namun syukur alhamdulillah, rezeki dari Allah selalu datang dari sumber-sumber lain selain 'bekerja' dan anda masih banyak masa terluang untuk beribadat kepadaNya. Betapa ramainya orang disekeliling anda yang sedang sibuk bekerja namun masih selalu merasa kekurangan dan tidak pula sempat beribadat kerana sibuknya bekerja.

Now up to you my friend...Anda fikir masalah, hati anda akan merasa susah dan masalah yang melanda tidak akan pernah berhenti. Lepas satu masalah, 10 lagi sedia menunggu. Jadi berapa lama lagi anda harus merasa susah hati? Betapa sia-sia hidup di dunia ini jika kita hidup hanya untuk susah hati memikirkan masalah-masalah. Jika anda mahu memikirkan anugerah-anugerah yang anda sedang miliki sekarang, hati anda akan selalu berbunga riang dan nikmat itu akan ditambah lagi kerana Allah sudah berjanji :

" Jika kamu beryukur pasti Ku tambah nikmatKu untuk mu "

Kita disuruh beryukur, itu saja syarat untuk bertambah nikmat. Allah tidak menyuruh kita memikirkan masalah-masalah yang datang sehingga kita susah hati, susah tidur, susah buang air, susah makan dan segala macam susah lagi.

Jika anda masih merasa susah, sebenarnya anda hanya kurang bersyukur.
Jika anda melihat kawan-kawan atau keluarga di sekeliling anda bersedih dan bersusah hati, katakan pada mereka bahawa mereka hanya kurang beryukur.

Betapa banyaknya nikmat Allah yang kita dustakan dan kita nafikan selama ini sehingga diabadikan berulang-ulang firmanNya di dalam surah Ar Rahman yang sentiasa mengingatkan kita :

" Maka nikmat Tuhan mu yang manakah yang kamu dustakan/nafikan "

Sekali lagi, kita selalu merasa susah hanya kerana kira kurang beryukur!

Semoga bermanfaat untuk kita semua.

Salam kasih dan sayang :)











Tuesday 15 November 2011

Mengapa Kita Perlu Zikrullah?

Salam :)

Apa yang kita fokuskan dengan fikiran kita, maka itulah yang kita akan perolehi.

Apabila kita memikirkan sesuatu objek, maka fikiran kita akan tersambung dengan objek tersebut. Jika kita memfokuskan fikiran kita terhadap objek itu, fikiran kita akan mula tersambung pula dengan banyak perkara yang meliputi objek tersebut.

Misalnya kita fikirkan sebuah pen. Fikiran kita akan menggambarkan sebatang pen secara rawak. Jika kita memfokuskan fikiran kita memikirkan sebuah pen, maka satu hubungan yang lebih kompleks akan wujud antara gelombang fikiran kita dengan pen. Sifat-sifat pen seperti warna, bentuk, harga, kegunaan, dan lain-lain akan mula tergambar dalam fikiran kita. Akan muncul pula kenangan-kenangan kita bersama pen-pen kita selama ini. Semakin dalam fokus kita, semakin banyak perkara yang berhubungan dengan pen akan muncul dalam fikiran kita.

Sebelum ini anda single, belum ada pasangan atau buah hati. Anda hanya ada dunia anda sendiri. Ketika anda sudah ada kekasih, anda mula mengenali diri kekasaih anda. Anda mula memasuki dunia kekasih anda. Anda kenal dengan kawan-kawannya, keluarganya dan anda mula ikut terlibat dengan semua masalah atau persoalan yang berkaitan dengan dirinya.

Jika anda memikirkan penyakit, semakin anda fokus dan hanyut dengan fikiran anda tentang penyakit, maka semua perkara tentang penyakit akan mula merasuk ke dalam kesedaran anda dan tidak lama kemudian anda pasti akan sakit. Jika anda memikirkan suatu masalah anda, lalu anda semakin fokus dan hanyut dalam pemikiran anda itu, masalah anda akan semakin melarat.

Minda kita adalah sebuah 'mesin' yang sangat kompleks dan unik. Kemampuan komputer yang kita kagumi pada zaman ini masih sangat kecil jika dibandingkan dgn keupayaan minda kita. Sangat jauuuuuuuuuuhhhhhh bezanya. Minda kita mampu membuat connection dengan banyak perkara sehingga unlimited perkara pada satu masa. Minda manusia zaman ini sudah sangat terhad hubungannya dengan alam ini kerana rutin kehidupan seharian kita melatih minda kita untuk semakin sempit dan sempit lagi. Hanya dengan zikrullah, kita boleh kembali meluaskan skop minda kita agar terhubung dengan baik dengan seluruh alam ini. Kenapa Zikrullah?

Ketika anda mula memfokuskan diri dengan zikrullah, ingat kepada Allah. Semua yang berkaitan dengan Allah akan mula memasuki kesedaran anda. Fikiran, perasaan, tindakan, dan seluruh aspek hidup anda akan dipenuhi dengan segala yang berkaitan dengan Allah. Cuba renung sejenak, apa saja yang berkaitan dengan Allah? Jawapannya, seluruh alam ada kaitan dengan Allah. Semua perkara ada kaitan langsung dengan Allah. Nyawa anda, masalah-masalah anda, hajat-hajat anda semuanya ditangan Allah. Anda mahu kaya, kekayaan milik Allah semuanya. Anda mahu cinta dari manusia, semua manusia dan seluruh perasaan mereka di tangan Allah. Anda mahu apa? Sebut saja...semua dalam lingkungan kuasa Allah.

Sangat berbeza jika kita fokuskan kesedaran dengan makhluk. Fikiran kita hanya dapat buat connection dengan perkara-perkara yang berkaitan dengan objek fokus itu. Dengan itu jiwa kita tidak merasa keluasan yang hakiki, tidak merasa ketenangan yang hakiki, dan tidak merasakan kebahagiaan yang hakiki. Sebab apa juga yang selain Allah bukanlah hakiki.

Oleh itu, jika anda memfokuskan seluruh kesedaran anda untuk mengingati Allah maka semua yang berkaitan dengan Allah akan melimpah memasuki diri dan kehidupan anda. Perkara yang menggembirakan adalah, disisi Allah itu hanya ada perkara-perkara positif, tiada perkara yang negatif. Jika anda berzikir tetapi masih merasa negatif bermakna zikir anda belum cukup. Belum cukup ikhlas, belum cukup penghayatan dan belum cukup istiqamah. 

Zikirlah Ya Allah...Ya Allah
Subhanallah...Subhanallah
Alhamdulillah...Alhamdulillah
Laailahaillallah...Laailahaillallah
Allahu Akbar...Allahu Akbar

Semoga kita selamanya diberikan hidayah dan inayah untuk mengingati Dia Yang Maha Sempurna.

Salam kasih dan sayang penuh kedamaian :)


Persepsiku dan Persepsimu Berbeza

Salam :)

Apabila kita dihadapkan dengan sesuatu situasi atau masalah kehidupan, kita akan berfikir, merasa dan bertindak mengikut apa yang kita fahami. Inilah persepsi.

Katakan anda sedang merasa sakit badan, lalu anda pergi menemui beberapa orang pengamal perubatan untuk mengadu masalah sakit anda iaitu, doktor, pakar psikologi, tukang urut dan bomoh. Percaya atau tidak, anda akan menerima 4 jenis punca penyakit dan 4 juga cara rawatan.

Kata sang doktor mungkin begini, " Sakit anda adalah disebabkan oleh perubahan hormon akibat terlalu banyak makan makanan mengandungi gula ". Ubatnya adalah suntikan serta beberapa pil.

Jika anda berjumpa dengan pakar spikologi pula, lebih kurang begini jawapannya, " Encik ini sakit disebabkan tekanan mental yang terlampau mungkin kerana masalah kerja atau cinta. Encik harus banyak berehat, melihat pemandangan indah dan meluangkan masa bergembira bersama keluarga ".

Dengan tukang urut pula, jawapan yang mungkin anda akan terima adalah lebih kurang begini, " Wah, urat encik ni ada yang salah. Mungkin ada angkat barang-barang berat kemarin sehingga urat-urat pun jadi salah susunan sebegini sebab itu encik merasa sakit. Tidak apa, selepas saya urut 1 jam akan baik ni ".

Jumpa bomoh, jawapannya pula lebih kurang begini, " Oh, ini kes sihir nih. Ada 20 ekor jin sedang bertenggek di badan tuan. Saya akan bacakan mentera dan jurus pamungkas untuk menghalau mereka ".

Lihatlah sekeliling anda, perhatikan bagaimana manusia berfikir, merasa dan beraksi. Semua itu adalah hasil persepsi masing-masing. Benar, masing-masing manusia bertindak mengikut ilmunya, mengikut data di dalam mindanya.

Siapakah yang paling benar dan harus diikuti? Ikutilah ilmu masing-masing sebab itulah rezeki masing-masing. Just follow what you understand. Dengan begitu anda akan diberikan apa yang anda faham. Aspek paling utama adalah jangan menganggap orang lain salah, kerana orang itu juga sedang mengikuti apa yang difahami olehnya saja. Memang akan terlihat pertentangan jika kefahaman kita dan kefahaman mereka dibandingkan. Sebab kefahaman-kefahaman ini belum lagi kefahaman sejati. Kefahaman sejati hanya dapat kita raih jika kita memahami dengan ilmu sejati pula. Manakala jalan menuju sejati itu adalah dengan mengisi hati kita dengan cinta dan kasih yang tulus kepada semua makhluk. Kalau masih ego nafsi-nafsi, takkan pernah sampai ke sana.

Semoga kita senitiasa mendapat bimbinganNya menuju ilmuNya yang sejati kerana hanya dengan itulah kita akan merasakan kebahagiaan yang hakiki.

Salam kasih dan sayang :)

Monday 14 November 2011

Bagaimana Menolong Dunia

Salam :)

Seorang murid mendatangi gurunya lalu bertanya,

" Wahai guruku, bagaimanakah caranya agar aku dapat menolong dunia ini? "

Si guru menjawab,

" Dengan memahaminya "

Bertanya lagi si murid,

" Bagaimana pula caranya agar aku dapat memahami dunia ini "

Jawab si guru lagi,

" Dengan menjauhinya "

Renungkan ertinya, semoga mendapat hikmahnya.

Salam kasih dan sayang :)

BAHAGIA DAN BERLIMPAH

BAHAGIA DAN BERLIMPAH Kondisi hidup mengikuti kondisi hati. Di sini, hati mewakili emosi dan perasaan. Perasaan itu sifatnya magnetik. Ia ...