Your Magic Blog: SPEKTRUM EMOSI MEDAN AURA MANUSIA

Thursday 19 May 2016

SPEKTRUM EMOSI MEDAN AURA MANUSIA

Sesiapa yang suka membaca komik Green Lantern, sudah pasti tidak asing dengan konsep "Emotional Electromagnetic Spectrum". Walaupun tidak dapat dipastikan adakah pelukisnya seorang pengamal ilmu energy, atau hanya sekadar mengambil konsep warna aura dalam lukisannya, tidak dinafikan sama sekali bahawa kaitannya dengan aura, chakra dan energy sangat mirip sekali.

Para adiwira yang menjadi polis bagi setiap sudut galaxy yang dijaga, menggunakan tenaga dari setiap spektrum warna yang dikawal menggunakan imajinasi. Mereka juga mampu menjana perisai perlindungan berasaskan energy, menyerap energy musuh dan lain-lain lagi kelebihan.

Nah, walaupun di dalam komik ia dipecahkan kepada satu warna utama bagi setiap kumpulan, akan tetapi pada tubuh manusia, warna-warna ini dimiliki oleh setiap chakra tertentu, yang mewakili seluruh tubuh badan kita.

Kita lakukan ulangkaji sedikit ya sebelum masuk ke isi yang lebih panjang. Tubuh kita, walaupun secara zahirnya nampak padat dan saling berjauhan dari setiap individu, sebenarnya jika diperhatikan dari sudut atom dan partikel, wujud kita ini hanyalah sekadar gumpalan atom yang bergetar pada frekuensi tertentu sahaja.

Dan setiap atom ini, terikat oleh jaringan-jaringan frekuensi yang sama, menghasilkan medan elektro-magnetik yang kuat, lalu memancarkan cahaya halus, yang dipanggil aura. Setakat ini, aura hanya dapat dilihat secara fizikal melalui kaedah Kirlian Fotografi.

Warna-warna Aura pada tubuh kita, berasal dari spektrum cahaya pelangi yang memiliki tujuh warna. Di dalam komik Green Lantern, ditulis secara spesifik sifat ketujuh-tujuh warna ini dan kaitannya dengan emosi tertentu.

Saya terpesona dengan spektrum ini, dan mendapat ilham untuk menuliskannya, sebagai perkongsian dengan sedikit penambahan dan pengubahsuaian yang dapat dijadikan tambahan ilmu dan kefahaman buat anda yang baru mahu mengenali Aura, Energy dan Vibrasi.

Apakah itu chakra? Chakra adalah titik tenaga yang berputar pada tubuh manusia. Ia sering digambarkan sebagai piring, roda, bola, atau bunga teratai yang sedang berkembang yang bercahaya. Chakra adalah pintu masuk dan keluar bagi setiap energy yang mengalir di tubuh kita, yang dihubungkan oleh nadi energy, seperti jalur plasma.

Harap maklum, walaupun tulisan ini mendapat inspirasi dari kisah Green Lantern, namun susunan emosi dan dan lawanmya tidak saya gunakan kronologi buku dan diubahsuai mengikut standard tulisan ini. 

CHAKRA MULADHRA (MERAH)

Cakra ketujuh pada tubuh manusia, biasa dipanggil sebagai cakra dasar. Terletak di antara tulang punggung dan perinium. Cakra ini berhubungkait dengan kesihatan, pertumbuhan dan survival kita di dunia. Cakra ini menjadi lemah jika ia didominasi oleh rasa risau yang berlebihan.

Spektrum emosi yang diwakili oleh cakra ini adalah MARAH. Seandainya cakra ini mendapat supply energy yang berlebihan, (Selalunya terjadi akibat sumbatan atau overdose energy) Seseorang itu akan mengalami gangguan emosi dengan marah berlebihan. 

Marah berlebihan ini terjadi akibat dua pengaruh, pertama kerana berlebihan energy pada cakra ini, kedua, didominasi oleh rasa risau lalu beransur-ansur menjadi semakin gelap cahayanya, maka sistem tubuh akan menjadi lemah yang membuatkan marah ini timbul sebagai mekanisme pertahanan emosi.

Cakra ini memperkuatkan darah, urat, tulang dan isi badan. Manakala emosi marah, bersambung terus dengan hormon adrenaline. Perasaan marah tidak semestinya mewakili sifat negatif. Kadangkala, marah tetap diperlukan untuk menjadi dorongan pada daya hidup kita sebagai manusia supaya mampu bangkit kembali setelah gugur.

Namun, marah yang berlebihan, apalagi pada tahap yang tidak dapat dikawal, akan merosakkan jalur darah, meningkatkan tekanan darah, menimbulkan sakit jantung, dan merendahkan imuniti tubuh. Marah boleh dikatakan sebagai pendorong utama kita untuk bangkit mempertahankan diri, menunjukkan kuasa, atau memberikan semangat juang jika digunakan pada tempat dan posisi yang betul.

CHAKRA SWADISTHANA (OREN)

Cakra keenam pada tubuh manusia. biasa dipanggil sebagai cakra seks atau sakral. Terletak di ari-ari sepanjang bawah pusat. Cakra ini berhubung dengan kegembiraan, seksual, dan kesenangan duniawi. Cakra ini menjadi lemah jika didominasi oleh rasa bersalah.

Spektrum emosi yang diwakili oleh cakra ini adalah GEMBIRA. Namun jika overdose, anda akan menderita ketagihan, rasa tamak berlebihan dan gila kuasa serta nama.

Kegembiraan adalah emosi yang sering disalah anggap dengan nikmat duniawi dan materialistik. Ini benar adanya jika anda mengutamakan kesedapan semata-mata hingga ketagih, lalu menjadi satu perasaan bersalah dalam diri. 

Perasaan bersalah, adalah musuh utama bagi cakra seks, yang umumnya bergetar pada frekuensi rendah dalam jadual David R. Hawkins, di mana ia menduduki carta kedua terbawah yang mengandungi getaran untuk merosakkan aura tubuh.

Konsep bersalah di sini agak panjang dan abstrak untuk dituliskan, dan memerlukan satu tajuk spesifik bagi menerangkan mana satu kah rasa bersalah yang baik, dan mana satukah rasa bersaalah yang buruk.

Dalam konteks ini, rasa bersalah akan menggelapkan cakra seks, yang menimbulkan masalah kemurungan, lemah tenaga batin, ketagihan, dan hilangnya rasa bahagia dalam diri hingga memerlukan konsumsi bahan terlarang untuk menimbulkan rasa bahagia semula secara paksa.

Cakra seks perlulah berada dalam tahap seimbang dan cahaya yang stabil bagi memastikan anda tidak jatuh dalam perangkap ketamakkan atau kemurungan. Adalah perlu untuk merasa bahagia untuk apa saja yang anda lakukan, dan jika anda mahukan ia berpanjangan, rasa SYUKUR, dan SEDEKAH mampu membuatkan cahaya pada cakra seks anda bersinar cerah.

CHAKRA MANIPURA (KUNING)

Cakra kelima pada tubuh manusia. Biasa dipanggil sebagai cakra solar pleksus, atau cakra pusat / pusar. Terletak dari pusat hingga ulu hati. Cakra ini berhubung dengan keberanian dan daya hidup. Sumber utama bagi penjana kuasa yang digunakan oleh tubuh manusia, tempat di mana makanan dan minuman diproses dan hormon diagih-agihkan dalam badan.

Spektrum emosi yang diwakili oleh cakra ini agak susah dihuraikan dalam bahasa Melayu, kerana ia mepunyai banyak makna dan pengertian. OPTIMIS, TEKAD, WILLPOWER, WILLINGNESS, KEMAHUAN atau emosi yang berkaitan dengan niat yang nekad dan jitu.

Dalam keilmuan AURA, cakra pusat adalah kepala bagi kehidupan duniawi manusia. Ironiknya, emosi TAKUT adalah lawan kepada cakra ini, yang menjadi petanda penting untuk menandakan bahawa cakra dan tubuh anda sudah kehabisan supply energy, baik dari alam semesta mahupun tenaga biologi.

Tanda apabila anda mengalami overdose energy pada cakra ini pula, anda mudah memandang rendah, menghina dan memburuk-burukkan orang lain. Kerap ketawa kerana menghina, untuk memalukan, dan tinggi diri yang melampau.

Cakra pusat agak senang untuk dikawal dan diseimbangkan. Hanya dengan melakukan olah raga secara rutin, bersosial secara sihat, masuk ke taman tema dan menaiki Roller-Coaster, cakra pusat anda akan bersinar dengan cerah dan kekal terjaga kestabilannya.

Jangan lupa juga untuk memakan makanan yang sihat dan tinggi anti oksida (Untuk mengelakkan dari kerasukkan dan histeria akibat gangguan emosi). Percaya atau tidak, banyak gangguan emosi hingga kerasukkan adalah berpunca dari gangguan hormon di perut, bukan semuanya berasal dari JIN.

CHAKRA ANAHATA (HIJAU / MERAH JAMBU)

Bergantung pada "MAZHAB" mana anda mempelajari ilmu aura, cakra jantung atau cakra cinta ini mempunyai dua jenis warna. Saya memilih untuk "Menerima" kedua-dua nya sebagai warna utama tanpa pilih kasih. Terletak di tengah kawasan dada.

Cakra ini berhubung dengan jantung, kasih sayang, dan menjadi penyatu antara cakra duniawi dengan cakra spiritual. Spektrum emosi yang diwakili oleh cakra ini adalah CINTA KASIH. Berbeza dengan komik Green Lantern, di dalam ilmu Aura dijelaskan bahawa SEDIH adalah lawan bagi cinta kasih.

Warna hijau juga melambangkan PROSES PENYEMBUHAN, di mana CINTA KASIH adalah ubat bagi semua masalah emosi dan mentaliti manusia, yang terzahir menjadi penyakit fizikal. 

Kekurangan dan terlebihnya energy pada cakra ini biasanya mempunyai efek yang sama, iaitu kesedihan melampau, dan timbulnya sifat empati yang berlebihan hingga turut sama mempengaruhi kesihatan anda.

Anda menjadi terlalu mudah meniru dan memimik penyakit serta emosi orang yang dilanda masalah, andai tidak mempunyai benteng diri dan supply energy yang tidak seimbang.

Tidak dinafikan, bahawa kuasa yang terkuat di alam semesta ini adalah CINTA, dan cinta yang terkuat sekali adalah cinta tanpa syarat dan batas (Tanpa memasukkan nilai seksual) kepada seluruh makhluk dan ciptaan di bumi ini, iaitu BELAS KASIHAN .

CHAKRA VISUDHA (BIRU)

Cakra ketiga di tubuh anda, terletak pada leher. Berhubung terus pada kejujuran yang membabitkan manusia dan energy. Cakra ini sudah dikira sebagai cakra spiritual, kerana berada di atas cakra jantung, dan menjadi konduit utama sebagai perhubungan sesama manusia, energy dan alam ketuhanan. 

Spektrum emosi yang diwakili oleh cakra dan warna ini adalah SABAR, yang membawa kepada harapan dan penyerahan diri kepada kuasa yang Terkuat dan Terbesar di alam Semesta.

Ketika anda berdoa, berniat, dan mengatakan sesuatu, cakra ini akan mengarahkan partikel atom di sekeliling tubuh anda untuk membentuk satu bola tenaga yang akan menjadi platform doa anda supaya dipancarkan ke alam semesta untuk dizahirkan, menjadi skrip-skrip yang akan anda jalani tanpa sedar kepada niat yang disebut tadi.

Dan ini menjadi asas utama bagi HARAPAN, yang hanya boleh dilaksanakan oleh emosi SABAR tadi. Di dalam ilmu Aura, para praktisi ada diajarkan kaedah membuat, mengisi dan memperkuatkan bola energy ini dengan pengisian energy tertentu.

Ketika anda memasuki kondisi meditatif di dalam ketenangan yang dalam, ketika inilah energy hajat tadi akan dilaksanakan oleh alam semesta, yang penting anda yakin, ikhlas, sabar dan tidak putus asa. Lawan bagi kesabaran pula adalah KEBENCIAN.

Tanda apabila anda mengalami overdose cakra ini, anda menajdi seorang yang perengus, perfectionist, suka menyuruh-nyuruh, gilakan kuasa, tidak mahu cakapnya dilawan, dan menunjukkan sikap diktator pada semua orang.

Kurangnya energy pada cakra ini pula menjadikan anda suka menipu, gemar membuat propaganda, dan automatik cakapnya dibenci orang atau tidak dihiraukan kerana tidak mempunyai tenaga yang cukup untuk mempengaruhi orang ramai. 

Sedikit kesamaan yang ada dalam komik GL, cakra leher berwarna biru ini, mempunyai kuasa untuk mengawal, melemahkan, atau menguatkan cakra dan spektrum emosi yang berada di bawahnya, samada untuk tujuan kebaikkan aatau sebaliknya.

Ia adalah cakra yang memberikan kekuatan melalui HARAPAN atau melemahkan melalui DUSTA dan KEPALSUAN.

CHAKRA AJNA (INDIGO / UNGGU)

Cakra kedua pada tubuh, yang terletak di dahi. Ia berhubung pada kebijaksanaan dan kesedaran. Warna unggu sering dikaitkan dengan kesedaran spiritual tingkat tinggi, dan di dalam ilmu paranormal, dikatakan mereka yang mempunyai aura unggu adalah seorang yang berbakat besar untuk menjadi bomoh.

Spektrum emosi yang berkaitan dengan warna unggu adalah TENANG. Kerana hanya dalam ketenangan sahaja manusia bisa mengakses kuasa alam semesta, mengenal potensi diri, berhubung dengan Tuhan, dan menerima kesedaran tingkat tinggi.

Imajinasi, kreativiti dan kebijaksanaan terletak pada sejauh mana anda mampu bertenang ketika mahu mendapatkannya untuk dijadikan pedoman dalam hidup. Emosi yang menjadi musuh kepada cakra ini adalah ANXIETY (Yang sebenarnya adalah gabungan dari masalah mental akibat dari terlampau banyak berfikir)

Cakra ajna atau lebih sinonim dengan panggilan cakra Mata Ketiga, bukanlah ditentukan tahap kebaikkannya melalui jenis hantu, jin dan alam ghaib yang anda tembusi, tetapi ia adalah cakra yang mementingkan cinta dan belas kasihan tahap tinggi, sehingga anda mampu melihat seluruh ciptaan alam ini, sebagai sesuatu yang berasal dari SATU sumber yang mengawal kuasa alam semesta ini.

Di dalam hukum energy, dikatakan bahawa tiada satu ruang pun yang sebenarnya kosong terpisah walau pun berada pada jarak jauh fizikalnya. Kerana setiap ruang diisi dengan partikel atom, yang asasnya adalah sama, cuma disebabkan masing-masing bergetar pada frekuensi berbeza, maka terciptalah "ILUSI" bahawa kita ini terpisah-pisah.

Ketika anda sudah mencapai kesedaran tahap tinggi, dan cakra anda berada pada tahap stabil, anda akan mula memahami bahawa semua benda, dan perbezaan yang terjadi pada alam ini adalah satu hukum semulajadi.

Ketika inilah, anda akan memasuki fasa penerimaan (Acceptance) dan menyedari bahawa tugas anda di dunia ini hanyalah untuk menyebarkan cinta kasih dan kebaikkan untuk semua manusia tanpa mengira statusnya.

Umumnya, memang diketahui bahawa orang-orang yang dominan warna aura tubuhnya berwarna unggu dan indigo mempunyai kelebihan psikik, kebijaksanaan di luar fikiran biasa, mahir dalam bidang seni, mempunyai bakat sebagai ahli paranormal dan mempelajari ilmu-ilmu yang menggunakan dominasi otak kanan.

Akan tetapi, kesannya jika mengalami masalah pada cakra ini, anda akan mengalami banyak masalah jiwa, anxiety attack, terlalu suka berfantasi, dan pada tahap kronik, tidak mampu membezakan mana realiti dan imajinasi.

CHAKRA SAHASRARA (PUTIH)

Cakra teratas di tubuh, terletak seperti mahkota dengan bunga teratai yang mengembang dengan seribu kelopak di atas kepala. Melalui cakra inilah segala energy Ilahi dan energy kosmik masuk ke dalam tubuh anda, di mana ia mempunyai "Penapis" yang akan membuang unsur negatif dan entiti asing yang cuba menceroboh tubuh anda ketika menyalurkan energy penyembuhan kepada pesakit dan klient.

Spektrum emosi bagi warna putih diwakili oleh PENCERAHAN JIWA (Enlightenment). Ia juga boleh dikatakan sebagai kesedaran roh pada tubuh, dalam perjalanan mengenal Tuhan. Dari segi spiritual, makrifat dan tasaufnya tidak akan saya tuliskan, silalah mencari guru mursyid anda sendiri.

Biasanya, hanya ada dua perkara yang biasa jadi ketika cakra mahkota seseorang itu terlalu kuat, pertama, tubuhnya "Mereput" dan rohnya terlalu cepat keluar dari badan. Kedua, dia menjadi seorang yang "Buta" di dalam cahaya, mengkafirkan dan meneraka-kan orang lain yang bukan sefahaman dengan dirinya.

Seperti biasa, cakra ini juga haruslah seimbang di dalam proses menjalani hidup anda sebagai manusia yang memerlukan penjagaan dalam kedua-dua aspek fizikal dan rohani.

Marah, Gembira, Optimis, Cinta Kasih, Sabar, Tenang, dan Pencerahan. Adalah spektrum Emosi yang terhasil dari tindakbalas tenaga pada chakra dan aura, dengan marah menduduki tangga di bawah pada cakra tubuh.

Sedikit bonus untuk pembaca, TAHUKAH ANDA, bahawa senjata ghaib dicipta menggunakan 3 emosi dari cakra bawah? Manakala energy perlindungan terbaik diciptakan mengguna 4 emosi dari cakra atas? Seperti biasa, kaedah ini hanya akan diajarkan dalam kelas ilmu energy sahaja.

Bagi yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Aura, Chakra, dan Energy bagi tujuan penyembuhan, benteng diri dan pembersihan rohani, bolehlah merujuk pautan ini.

Sekian dulu tulisan kali ini, semoga anda semua bergembira sambil berkongsi artikel ini kepada teman-teman lain.

Sekian wassalam, Senyum, Rileks, Pasrah.
~ From QI with Love.

No comments:

Post a Comment

BAHAGIA DAN BERLIMPAH

BAHAGIA DAN BERLIMPAH Kondisi hidup mengikuti kondisi hati. Di sini, hati mewakili emosi dan perasaan. Perasaan itu sifatnya magnetik. Ia ...